Sabtu, 13 April 2019 | 5:14pm
AMY mengenakan misai dan jambang ketika hadir ke sebuah acara bagi mempromosikan MRT Jakarta. - Foto ihsan Amy Search
AMY mengenakan misai dan jambang ketika hadir ke sebuah acara bagi mempromosikan MRT Jakarta. - Foto ihsan Amy Search

Samaran Amy di Jakarta tarik perhatian

KUALA LUMPUR: Aksi samaran penyanyi terkenal, Amy Search, di Jakarta, Indonesia, mengejutkan ramai peminat bintang rock terbabit di negara itu.

Menurut Amy, 60, ramai yang tidak menyangka lelaki bermisai dan berjambang di sebuah lokasi di ibu negara republik itu adalah dirinya.

“Aksi penyamaran berkenaan sebenarnya adalah sebahagian daripada rancangan untuk mempromosikan perkhidmatan MRT Jakarta yang dilancarkan minggu lalu kepada masyarakat di sana.

“Saya pula sebenarnya berada di kota terbabit bagi menghadiri program pelancaran Kolaborasi Instagrammers Indonesia-Malaysia. Alang-alang sudah berada di sana, saya berbesar hati apabila diundang sebagai artis pertama membuat persembahan di MRT Jakarta,” kata penyanyi yang juga ahli perniagaan terbabit kepada BH Online.

Sejak semalam, video Amy menyamar ketika diundang menyanyi secara spontan bersama penghibur jalanan lain tular di laman sosial. Menerusi rakaman berkenaan, vokalis Search itu dilihat tampil bermisai dan berjambang.

Amy sendiri ada berkongsi rakaman berkenaan di laman sosial Instagramnya, pagi tadi.

Penyanyi terbabit sememangnya mempunyai nama besar di negara berkenaan berikutan kejayaan lagu Isabella yang mencipta fenomena sekitar akhir 1980-an.

“Jujurnya, saya cukup rasa terharu kerana lagu itu masih diingati hingga kini. Impak Isabella sangat kuat dan begitu bermakna terhadap kerjaya saya dan Search.

“Isabella juga boleh saya katakan menjadi lambang cinta dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia, yang teguh hingga kini. Apatah lagi, negara kita dan Indonesia bagaikan bersaudara,” katanya yang dilihat turut menyanyikan lagu berkenaan dalam video terbabit.

Berita Harian X