X
Selasa, 26 March 2019 | 9:00am
SELEPAS lima tahun, Elisya bangga kehadirannya tidak lagi dibayangi populariti kakaknya. Foto Nur Adibah Ahmad Izam
SELEPAS lima tahun, Elisya bangga kehadirannya tidak lagi dibayangi populariti kakaknya. Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Elisya Sandha lega tak lagi dianggap pelakon tempelan

KUALA LUMPUR: Lima tahun bertatih, Elisya Sandha berbangga apabila mampu menangkis persepsi sesetengah pihak yang sebelum ini menganggap kehadirannya dalam dunia lakonan hanya bersandar kepada tuah semata-mata.

Katanya, kepercayaan pengarah untuk membawa pelbagai watak juga membuka mata ramai terhadap bakatnya, sekali gus melenyapkan pandangan skeptikal mereka yang pernah meragui kemampuannya.

“Saya akui, tidak mudah membawa nama sebagai adik Fasha Sandha, terutama apabila ramai mengaitkan populariti kakak sebagai langkah mudah untuk saya mendapat tawaran berlakon.

“Hakikatnya, saya juga sama seperti pelakon lain yang terpaksa melalui susah payah menghadiri sesi uji bakat sebelum diterima berlakon. Saya juga perlu kuatkan hati untuk berdepan pelbagai tanggapan.

“Ketika awal kemunculan dulu, saya sering dipanggil sebagai ‘adik Fasha’ di lokasi penggambaran, sedangkan hati menjerit supaya mereka memanggil saya dengan nama sebenar.

“Alhamdulillah, daripada satu telefilem beralih ke drama rantaian, penonton mula mempercayai kemampuan sebenar saya dan tidak lagi melihat kehadiran Elisya Sandha sekadar penyeri,” katanya.

Elisya atau nama sebenarnya, Nur Elisya Mohd Faizal, 20, berkata sebagai anak bongsu daripada enam bersaudara, dia teruja mendapat bimbingan kakaknya yang jauh lebih berpengalaman sebagai pelakon.

Dia yang mula berlakon sejak usia 15 tahun juga sering diingatkan kakaknya supaya menjaga disiplin dan menepati masa demi hari depan.

Antara lakonannya yang membekas di hati penonton adalah telefilem arahan Along Kamaludin, Apabila Terbitnya Fajar yang turut meraih dua juta tontonan di YouTube.

“Saya mendapat maklum balas penonton, termasuk dari Indonesia yang memaklumkan, mereka menangis selepas menonton telefilem ini.

“Syukur apabila orang luar turut memberikan sokongan terhadap produk tempatan. Sebelum ini, saya pernah membawa watak berat, tetapi Apabila Terbitnya Fajar sangat menguji kerana saya perlu melakonkan banyak babak menangis,” katanya.

Berita Harian X