Jumaat, 22 March 2019 | 4:45pm
BETTY Banafe ketika menjayakan acara ramah mesra sempena Hari Sindrom Down Sedunia, di ibu kota. - Foto Instagram Betty Banafe

Betty tampil bertudung sejak pulang dari Makkah

KUALA LUMPUR: Pelakon, Betty Banafe, mula tampil dengan imej bertudung sejak beberapa bulan lalu dalam usaha menjadi Muslimah lebih baik.

Betty atau nama penuhnya Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe, 39, berkata penghijrahan itu dilakukan sejak pulang daripada mengerjakan ibadat haji, tahun lalu.

Bagaimanapun kata Betty, dia masih dalam tempoh percubaan kerana baginya, kewajipan lain seperti menyempurnakan lima rukun Islam perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

"Sejak pulang dari Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan ibadat haji, hati saya mula terdetik untuk belajar memakai tudung.

"Kalau anda lihat, cara saya menutup aurat belum lagi sempurna kerana saya masih dalam peringkat percubaan dengan imej baharu ini.

"Saya tahu, bertudung itu wajib bagi wanita Islam. Tetapi, saya mahu menyempurnakan dahulu rukun Islam termasuk menjaga solat, berzakat dan menunaikan haji. Insya-Allah, doakan semoga hati saya kuat dan terus istiqamah," katanya kepada BH Online.


KENANGAN Betty sewaktu berada di Madinah, Januari lalu. - Foto Instagram Betty Banafe

Betty berkata demikian ketika ditemui pada program ramah mesra bersama kanak-kanak sindrom down sempena Hari Sindrom Down Sedunia di Rumah Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM), di sini.

Pada program itu, Betty, yang turut mengerjakan umrah pada Januari lalu, dan beberapa artis lain berusaha menjayakan laman web jomsedekah.com yang menjadi platform membantu persatuan berkenaan.

"Laman sesawang jomsedekah.com adalah platform bagi membantu PSDM mencapai misi mereka membina bangunan pendidikan buat anak-anak istimewa ini, selain membeli alat bantuan mengajar.

"Mereka antara komuniti yang kurang mendapat perhatian orang ramai. Saya mahu membantu mereka dan menyebarkan maklumat mengenai sindrom down kepada masyarakat yang rata-rata belum arif mengenai masalah kesihatan ini," ujarnya.

Selain itu, Betty juga bakal menjayakan Fesyen Vaganza Amal 2019 bersempena ulang tahun ke-18 persatuan terbabit di Hotel Berjaya Times Square, di sini, 20 April depan.

Acara berkenaan akan mempersembahkan 60 rekaan pereka terkenal yang bakal diperagakan oleh kira-kira 30 selebriti dan 20 kanak-kanak sindrom down.

Berita Harian X