Ahad, 17 March 2019 | 10:00am
KUMPULAN Forteen yang kini dianggotai oleh (dari kiri) One, Ameer dan Ariz muncul bersama single terbaru, Diam Saja. - Foto Mahzir Mat Isa
KUMPULAN Forteen yang kini dianggotai oleh (dari kiri) One, Ameer dan Ariz muncul bersama single terbaru, Diam Saja. - Foto Mahzir Mat Isa

Diam Saja tiada kena mengena dengan Izzue - Forteen

KUALA LUMPUR: Kumpulan Forteen menolak dakwaan konon single terbaru mereka, Diam Saja, mempunyai kaitan dengan Izzue Islam.

Menurut anggotanya, Ariz Lufias, biarpun lirik lagu itu ditulis oleh ahli kumpulan yang masih setia bersama, ia sama sekali tidak ditujukan kepada pelakon dan penyanyi terbabit.

Izzue mengumumkan pengundurannya daripada Forteen secara mengejut pada November tahun lalu.

“Diakui, apa juga perkara yang kami lakukan selepas pengunduran Izzue, pasti ia akan tetap dikaitkan dengannya.

“Jujurnya, kami terlebih dahulu menerima melodi lagu ini dan komposernya, Adam Armin, ada menyanyikan bahagian korus yang berbunyi ‘diam saja’. Dari situ, kami olah lagu ini berdasarkan ayat berkenaan.

“Sebenarnya, single ini berkisar mengenai percintaan antara dua insan. Dalam mana-mana hubungan, pasti ada yang memilih untuk mendiamkan diri biarpun terluka. Kami pasti situasi sama dilalui oleh setiap pasangan di luar sana, begitu juga dengan kami,” katanya kepada BH Online.

Diam Saja menjadi karya pertama ditulis oleh Ariz, One dan Ameer selepas Forteen tinggal bertiga. Ia juga dijadikan runut bunyi drama Cinta Non Grata yang menemui penonton slot Lestary TV3, mulai 21 Mac.

Sementara itu, mereka akui tidak berdepan kesukaran atau berasa kekurangan saat merakamkan lagu berkenaan.

“Kalau diikutkan, ketika Izzue masih bersama kami dahulu pun, ada masanya Forteen bergerak secara bertiga. Jadi, ia sudah menjadi perkara biasa.

“Namun, tentu sahaja ketiadaan Izzue tetap dirasakan. Kami bagaimanapun perlu menghadapi kenyataan dan terus melangkah ke hadapan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaru kumpulan itu, hasil ciptaan Adam, Joseph Khan dan Forteen.

Bermula 1 Mac lalu juga, video lirik lagu terbabit mula dikongsi di laman YouTube.

Ditanya mengenai sebarang perancangan untuk mencari pengganti Izzue, masing-masing sepakat untuk kekal bertiga.

“Kami memerlukan masa untuk mengenali orang baharu. Dan, bagi menyertai kumpulan ini, satu perkara yang perlu ada ialah sikap toleransi. Jadi, buat masa ini rasanya kami selesa bertiga,” katanya.

Berita Harian X