Selasa, 5 March 2019 | 7:09pm
Zizan (kiri) mengakui rapat dengan Mira Filzah, namun hanya sebagai kawan. Gambar kanan, Remy Ishak. - Foto NSTP
Zizan (kiri) mengakui rapat dengan Mira Filzah, namun hanya sebagai kawan. Gambar kanan, Remy Ishak. - Foto NSTP

Dikaitkan dengan Remy Ishak: Hubungan Zizan, Mira tak terjejas

KUALA LUMPUR: “Saya tidak lihat keakraban Mira Filzah dan Remy Ishak menjejaskan hubungan baik kami kerana kami hanya rapat sebagai rakan industri,” kata pelakon, pengacara serta pelawak, Zizan Razak.

Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, dia masih bersahabat dengan Mira, selain kembali menegaskan, hubungan mereka tidak membabitkan soal hati dan perasaan.

“Persahabatan kami tidak terjejas kerana saya dan Mira hanya rapat sebagai kawan. Hanya itu dapat saya katakan. Jika ditanya mengenai keakrabannya dengan Remy, rasanya lebih baik perkara itu diajukan kepada empunya badan.

“Saya dan Mira baik seperti rakan selebriti lain kerana kami bekerja dalam industri yang sama,” katanya.

Zizan sebelum ini, sering dikaitkan menjalin hubungan istimewa dengan Mira, namun dinafikan kedua-dua mereka.

Menurut Zizan, dia juga tidak mampu memberikan jawapan jika ditanya mengenai soal jodoh, sebaliknya menyerahkan urusan itu kepada Yang Maha Esa.

“Saya tahu soalan itu pasti ditanya dan jawapan saya tetap sama, tiada perkembangan terbaru yang boleh dikongsi. Saya tiada jawapan jika ditanya mengenai jodoh.

“Sementara masih sendiri, saya berikan dulu sepenuh tumpuan kepada kerjaya yang menjadi punca utama rezeki. Semangat saya semakin membara untuk memberikan yang lebih baik selepas menerima pengiktirafan dan penghargaan.

“Dalam mengejar kejayaan, ada ketika kita lupa soal kesihatan dan hubungan dengan keluarga. Bukan mahu tunjuk baik, tetapi seboleh-bolehnya saya tidak mahu leka apabila dikurniakan Allah rezeki yang luas,” kata Zizan.

Pelakon berusia 35 tahun itu bakal muncul dalam telefilem, Saya Jual Ye Bang bergandingan dengan Uqasha Senrose, Nadiyah Sahab dan Datuk AC Mizal.

Berita Harian X