Isnin, 4 March 2019 | 9:00am
Deja mengaku beroleh kekuatan selepas empat bulan berpisah dengan bekas suami. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman
Deja mengaku beroleh kekuatan selepas empat bulan berpisah dengan bekas suami. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman

Deja tutup pintu hati

KUALA LUMPUR: Empat bulan selepas bercerai, penyanyi Deja Moss mengaku sudah pulih daripada trauma yang menghantuinya sejak mahligai dibina runtuh.

Enggan mengenang kedukaan lalu, Deja atau nama penuhnya, Sharifah Hadijah Wan Moss memberitahu, perceraian menjadikan dirinya lebih kuat dan cekal dalam menghadapi cabaran mendatang.

“Tak dinafikan, perceraian memberi kejutan buat saya. Bayangkan, kami tak pernah bergaduh dan tiba-tiba bercerai. Selepas kejadian itu, lama saya menyepi.

“Saya lebih banyak memerap di rumah... Tak nak jumpa orang, tak tengok televisyen (TV).

“Hanya selepas melihat apa yang berlaku ini daripada sudut positif, barulah saya dapat mengumpulkan kekuatan dan bersemangat untuk kembali meneruskan hidup," katanya kepada BH Online.

Akhir Oktober lalu, Deja, 45, mengaku sudah berpisah dengan bekas suami, Azfendy Azzuddin Ahmad.

Bergelar janda, Deja tidak menafikan status itu mengundang lelaki hidung belang untuk menggoda terutama di laman sosial.

“Apabila kita terlalu terbuka dengan kehidupan peribadi, ramai yang mula bertanya pelbagai soalan. Ada yang mencuba nasib untuk menjadi pengganti.

“Walaupun saya sudah bercerai dan masih bersendirian, pintu hati saya masih belum terbuka untuk kembali berpasangan,” katanya.

Semalam, Deja menghadiri majlis pelancaran projek kek lapis amal di Rumah Anak Yatim Teratak Che Dah di Rawang, Selangor. Hadir sama Pengerusi Teratak Che Dah, Datuk Sohaimi Shahadan.

Mengulas projek amal itu, penyanyi berasal dari Sarawak yang popular dengan lagu Asmara Ini memberitahu, acara itu dikendalikan dengan kerjasama rumah kebajikan berkenaan.

“Sebahagian daripada hasil jualan kek akan diserahkan kepada rumah kebajikan terbabit. Inilah yang mampu saya beri untuk membantu penghuni rumah ini,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai pembelian kek lapis boleh didapati dengan menghubungi talian 018-2660092 atau emel kepada @keklapisdejamoss@gmail.com.

Berita Harian X