Rabu, 27 Februari 2019 | 3:53pm
BELLA reda andainya perpisahan menjadi jalan terakhir dalam kemelut rumah tangganya dengan Aliff Aziz. - Foto Zaidi Mohamad

Saya sudah tawar hati - Bella Astillah

KUALA LUMPUR: “Jika perpisahan menjadi jalan terakhir untuk perkahwinan kami, saya akur dan reda.”

Demikian reaksi Bella Astillah, 25, kepada BH Online berhubung kemelut rumah tangganya bersama pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz, ketika ditemui di Desa Pandan, di sini hari ini.

“Saya tak sangka dia akan buat hal lagi. Ingatkan, dia sudah berubah. Kali ini, dengan pelakon juga.

“Saya sudah tidak mampu untuk berselindung. Sebab itu juga saya memilih untuk berkongsi cerita ini di Instagram. Sebelum ini, saya maafkan dirinya dan memberikannya peluang. Namun, nampaknya dia tidak menggunakan peluang itu sebaik mungkin.

“Selepas ini, saya perlu berbincang dengan keluarga kerana apa sahaja keputusan mengenai rumah tangga kami, ia tetap membabitkan banyak hati,” ujarnya.

Aliff dikatakan sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila Bella mendakwa suaminya menjalinkan hubungan dengan pelakon, Oktovia Manrose, termasuk ke kelab malam bersama-sama.

PENYANYI dan pelakon, Aliff Aziz bersama isteri, Bella Astillah dan anak mereka, Mohamad Ayden Adrean, ketika majlis memperkenalkan sebuah produk kecantikan di Putrajaya, November 2017. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Sebelum ini, Aliff pernah mengecewakan hati isterinya pada Julai 2017 apabila dikatakan menjalinkan hubungan dengan pelakon, Afifah Nasir. Bagaimanapun, ketika itu Bella memaafkan suaminya dan berusaha membuka buku baharu.

Akui kakak kepada penyanyi, Didi Astillah ini, hatinya sudah tawar dengan Aliff, 28.

“Silap saya sendiri sebab terlalu sayang, cinta dan menjaga nama serta keperluannya. Akhirnya, saya juga yang makan hati.

“Lima tahun kami saling mengenali dan usia perkahwinan kami juga memasuki tahun ketiga. Nampaknya, tempoh itu belum cukup untuk saya benar-benar mengenalinya. Dia masih tak serik.

“Ikutkan, banyak lagi kisah seumpama ini yang saya pendam dan tidak kongsi bersama umum. Sudah banyak juga peluang diberikan dan dia masih bersikap acuh tak acuh,” dakwa Bella.

Bella juga mendakwa, dia agak terkejut kerana Oktovia pada awalnya menafikan ada sesuatu antara mereka.

“Kira-kira seminggu lalu, dia dan Aliff terbabit sebagai teraju utama telefilem, Dosa Itu Bukan Miliknya, di Perak. Awalnya, saya tak syak ada apa-apa antara mereka. Tak sangka, mereka sempat bermain perasaan dalam tempoh yang pendek ketika menjayakan telefilem berkenaan.

“Cuma, saya yang menemani Aliff di sana mula syak apabila melihat perubahan sikapnya pada hari terakhir penggambaran. Aliff seperti tak fokus, emosi tidak stabil dan banyak berdiam diri.

“Pada 16 Februari lalu yang juga hari lahirnya, sewaktu kami bergerak pulang ke ibu kota pun, dia melayan lagu ‘rentan’. Saya yang memandu kereta dengan ditemani anak, Ayden, juga perasan seperti ada yang tak kena dengannya. Situasi itu mengingatkan saya ketika dia dikaitkan dengan Afifah. Saat itu, dia gemar mendengar lagu ‘jiwang’,” dakwa Bella.

Bella bagaimanapun menafikan cerita konon dia menghalau Aliff keluar, sejak 17 Februari lalu.

“Selepas syak sesuatu berlaku, saya memberikannya pilihan, sama ada untuk memperbaiki hubungan atau keluar rumah. Dia memilih untuk keluar rumah.

“Tak sangka pula, ada pihak yang menunjukkan kebenaran mereka keluar bersama ke kelab malam, awal pagi tadi, di Bukit Bintang,” katanya.

Sementara itu, menerusi bantuan Bella, BH Online turut berjaya menghubungi Aliff yang bagaimanapun bagai hilang kata-kata.

“Saya tak boleh cakap atau komen apa-apa. Saya tak boleh fikir,” kata Aliff ringkas.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Ayden Adrean, pada 8 Julai 2017.

Berita Harian X