Jumaat, 22 Februari 2019 | 2:54pm
PENYANYI dan pelakon, Siti Nordiana, berada di Jepun sejak Isnin lalu atas undangan AirAsia X. - Foto Instagram Siti Nordiana
PENYANYI dan pelakon, Siti Nordiana, berada di Jepun sejak Isnin lalu atas undangan AirAsia X. - Foto Instagram Siti Nordiana

Nana cemas gempa bumi gegar Hokkaido

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Siti Nordiana Alias, mengakui cemas berdepan pengalaman gempa bumi sederhana 5.5 skala Richter yang menggegarkan Hokkaido, Jepun, semalam.

Menurutnya yang kini berada di negara matahari terbit itu, walaupun tiada kejadian tidak diingini terjadi, dia dan anggota rombongan lain tetap berasa takut memandangkan kali pertama berasakan kesan gegaran.

“Ketika kejadian, kami berada di bandar Atsuma dan boleh berasakan gegaran berikutan gempa bumi yang berlaku.

“Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja kerana dimaklumkan, gempa yang berlaku semalam sudah biasa dilalui oleh penduduk tempatan.

“Apa pun, sedikit sebanyak saya cemas juga. Mujurlah tidak panik memandangkan ada kawan dan pengiring yang memenangkan keadaan,” kata penyanyi yang lebih mesra disapa dengan panggilan Nana itu.

Selain penyanyi Nisan Cinta itu, pemergian ke Jepun atas jemputan AirAsia X berkenaan turut disertai rakan baiknya yang juga pelakon dan pengacara, Zoey Rahman.

Sambil melancong, mereka yang ditemani beberapa kru produksi turut merakamkan program travelog sendiri bagi siaran YouTube.

Nana dan rombongannya dijadualkan pulang ke tanah air, hari ini, selepas berada di sana sejak Isnin lalu.

Berita Harian X