Isnin, 18 Februari 2019 | 3:01pm
EXIST berharap impian menjayakan konsert sempena 28 tahun penubuhan bakal jadi kenyataan. Foto IG Ajai

Konsert 'reunion' rai 28 tahun Exist

KUALA LUMPUR: Biarpun berdepan cabaran, terutama untuk mendapatkan dana, Ajai berharap, impian melihat penyatuan semula Exist akan tercapai, tahun ini.

Bekas pemain keyboardnya, Ajai atau Mohd Faizal Maas, 42, berkata perancangan menampilkan semua anggota kumpulan itu dalam Konsert Reunion Exist sudah direncanakan sejak tahun lalu.

Namun, hanya pada minggu lalu, dia baru berkesempatan duduk berbincang mengenai projek gabungan semula itu bersama Along, Musa dan Ujang.

“Empat rakan lain termasuk Shah (Slam) dan tiga bekas vokalis Exist iaitu Mamat, Ezad serta Joey tidak dapat bersama kerana terikat dengan komitmen masing-masing.

“Mereka bagaimanapun, sudah sedia maklum mengenai perancangan untuk tampil dalam konsert reunion. Sebelum ini, Exist pernah bergabung semula dalam persembahan, namun tidak semua lapan anggota terbabit sama.

“Sekiranya projek ini mendapat sokongan, kami berharap sangat konsert itu akan diadakan selewat-lewatnya Oktober ini sempena meraikan ulang tahun ke-28 Exist ditubuhkan,” katanya.

Mencipta magis hingga mengukuhkan nama di Indonesia, Brunei dan Singapura sejak 1991, Exist pernah melakar sejarah sebagai pemuzik termuda yang menempa tempat di negara jiran.

Pernah merakamkan lapan album yang mencatat jualan platinum, antara lagu popular mereka termasuk Untukmu Ibu, Jesnita, Kerana Percayakan Siti, Dirantai Digelangi Rindu, Masih Terserlah Ayumu dan Mama Tolonglah Percaya.

Pada 2008, Exist menghasilkan album kompilasi, Keunggulan, menampilkan vokalis baharu, Joey Daud. Ketika awal penubuhan, Exist tampil bersama Mamat sebagai vokalis, sebelum tempatnya digantikan Ezad.

Selepas 10 tahun menyepi, pada 2016, kumpulan itu muncul semula menjayakan konsert

Throwback Exist di Far East Square, Singapura menampilkan Ezad sebagai vokalis.

Ajai berkata, mereka begitu teruja untuk memastikan perancangan itu menjadi kenyataan dan berharap segala usaha dipermudahkan.

“Kami akur, bukan mudah mencari dana, namun yakin konsert ini akan menjadi kenyataan berdasarkan maklum balas awal promoter.

“Sejak tahun lalu, ada pihak yang merisik, termasuk dari Singapura. Kami berharap perjalanan ke arah itu dipermudahkan, memandangkan semua pihak teruja untuk melihat Exist di pentas bersatu semula,” katanya.

1505 dibaca
Berita Harian X