Ahad, 17 Februari 2019 | 9:31am
ERUL kini ligat mempromosikan single baharu berjudul Teristimewa. - Foto Instagram Erul
ERUL kini ligat mempromosikan single baharu berjudul Teristimewa. - Foto Instagram Erul

Erul diejek gara-gara pakai bengkung

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan guru vokal, Erul Samah, menyelar tindakan netizen menggunakan akaun samaran bagi melakukan serangan peribadi terhadap dirinya gara-gara mengenakan bengkung dalam acara riadah, baru-baru ini.

Katanya, dia tidak menyangka golongan terbabit belum puas mengganggu selepas menghamburkan ejekan pondan, hingga sanggup menggunakan mesej langsung (DM) di Instagram sebagai saluran untuk menghentam.

“Sebaik sahaja gambar dan video senaman tarian bersama rakan daripada pasukan BebyDollz Salsation dikongsi, ramai yang memberikan komen berbaur usikan apabila melihat saya dan beberapa peserta lelaki lain berbengkung.

“Saya sangka ia akan reda begitu sahaja, apatah lagi bagi saya penggunaan bengkung sambil bersenam satu perkara unik, selain lebih mudah berpeluh di kawasan selulit degil.

“Begitupun, selepas itu muncul pula gelaran memalukan. Saya dicop pondan semata-mata disebabkan bengkung, malah sampai hari ini ada yang lebih berani DM saya untuk mengejek.

“Walhal, saya sudah jelaskan ia sekadar alat bantu. Kenapa perlu memfitnah seteruk itu? Saya bukan berpakaian seperti wanita, jauh sekali bersolek,” katanya kepada BH Online.

Erul atau nama sebenarnya Hairul Najmuddim Abu Samah, 27, bagaimana pun mengakui memang mempraktikkan pemakaian bengkung keluaran rakannya, Beby Maembong, sejak beberapa bulan lalu bagi membantu menurunkan berat badan.

Katanya, ia dipakai ketika bersenam untuk mempercepatkan proses pembakaran lemak, sementelah dirinya dalam usaha untuk kembali mendapatkan bentuk tubuh dahulu.

“Berat badan saya bertambah pada 2016 hingga melebihi 80 kilogram, membuatkan saya memberikan tumpuan terhadap tugas sebagai guru vokal.

“Apabila projek single baharu, Teristimewa, hampir diterbitkan, saya nekad berbuat sesuatu sekali gus tampil lebih berkeyakinan.

“Tak sangka pula senaman berbengkung dan amalan menjaga pemakanan yang betul membolehkan saya hilang sembilan kilogram,” katanya lagi yang pernah belajar di sebuah agensi di Seoul, Korea Selatan, demi minat terhadap K-pop.

Berita Harian X