Rabu, 6 Februari 2019 | 1:51pm
AFIF terpaksa menanti 11 tahun untuk muncul dengan single solo. Foto Mahzir Mat Isa

Penantian 11 tahun Afif Tirmizie jadi kenyataan

KUALA LUMPUR: Hampir 11 tahun menyimpan impian, Afif Tirmizie bersyukur, hasrat untuk tampil dengan single solo akhirnya menjadi kenyataan.

Afif atau nama sebenarnya, Ahmad Aliff Afif Tirmizie, 32, sebelum ini pernah menganggotai kumpulan The Fabulous Cats dan Nukilan.

Dia yang mula mencipta nama selepas menyertai program realiti, Akademi Fantasia (AF) musim kesembilan berkata, single yang diberi judul Nadi itu sangat istimewa.

Bukan sekadar lagu pertama yang dirakamkan secara solo, Nadi juga menjadi pertaruhan untuk melihat sejauh mana bakatnya sebagai pencipta lagu diterima peminat.

“Alhamdulillah, impian yang saya simpan sejak sekian lama akhirnya menjadi kenyataan. Sebelum ini, saya tidak berpeluang untuk merakamkan lagu solo kerana bergerak bersama band.

“Ini adalah masa yang tepat dan lebih mengujakan, Nadi turut dipilih sebagai runut bunyi drama, Jika Masih Ada Rindu yang disiarkan TV3.

“Saya terharu kerana drama lakonan Kamal Adli dan Siti Saleha itu banyak membantu mempromosikan lagu ini. Syukur kerana perjalanan saya bagaikan sudah diatur dengan baik,” katanya.

Afif tidak menafikan, populariti drama itu turut menjadi batu loncatan untuk peminat lebih mengenalinya sebagai penyanyi dan komposer.

Melihat perkembangan positif itu, Afif semakin optimis untuk melangkah lebih jauh sebagai penyanyi solo.

Baginya, istilah lewat tidak pernah ada dalam kamus hidupnya kerana Afif sentiasa percaya pada rezeki.

“Rezeki pasti datang untuk mereka yang berusaha. Tidak kira cepat atau lambat, saya tidak pernah melihat perkara itu sebagai halangan untuk terus melangkah.

“Berbanding ahli kumpulan yang lain, saya paling lambat bergerak solo kerana terikat dengan pelbagai komitmen. Lagipun, saya bergerak sendiri, banyak yang perlu diuruskan, terutama hal berkaitan bajet.

“Saya bagaimanapun, berterima kasih kerana pengalaman dan ilmu yang dikutip bersama The Fabulous Cats dan Nukilan dapat dimanfaatkan apabila bergerak solo,” katanya.

Berita Harian X