Khamis, 24 Januari 2019 | 1:01pm
Izzue mula risau dengan kesihatan diri sejak beberapa hari lalu sedangkan jadual hariannya makin padat. - IG Izzue Islam
Izzue mula risau dengan kesihatan diri sejak beberapa hari lalu sedangkan jadual hariannya makin padat. - IG Izzue Islam

Izzue risau sakit mata

KUALA LUMPUR: Bermula dengan batuk, sakit kerongkong dan demam, sekarang kedua-dua mata pula bengkak.

Itu yang merisaukan penyanyi dan pelakon, Izzue Islam apabila menyedari kesihatan diri terjejas, sejak semalam, sedangkan jadual seninya padat.

Izzue memberitahu, dia mula sedar kedua-dua matanya bengkak, pagi semalam.

“Saya sedar kedua-dua mata bengkak terutama sebelah kiri yang semakin teruk. Doktor sukar mengenal pasti puncanya, namun menjelaskan, ia tidak berjangkit, cuma merah dan bengkak.

“Lebih merisaukan, saya perlu menjalani penggambaran projek telefilem. Diharap mata saya akan pulih secepat mungkin. Jika tidak, nampaknya saya perlu memakai cermin mata hitam,” katanya kepada BH Online.

Izzue atau nama penuhnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan berkata, dia pernah mengalami masalah sama, namun kali ini, tampaknya lebih teruk.

“Jika tidak pulih, saya akan membuat pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca,” katanya yang memuat naik foto matanya yang bengkak di Instagram (IG) Story, semalam.

Dalam perkembangan lain, Izzue berkata, dia sepatutnya memulakan penggambaran telefilem Batu 120, hari ini.

“Saya baru terima skrip menjayakan telefilem itu. Selain itu, filem lakonan iaitu XX Ray III arahan Aziz M Osman mula ditayangkan hari ini,” katanya.

Tambah Izzue, single berjudul Kau yang dirakamkannya dijadikan runut bunyi filem berkenaan dan dilancarkan hari ini.

Berita Harian X