Khamis, 24 Januari 2019 | 9:31am
AMYLEA berjanji akan memberikan persembahan terbaik pada malam kemuncak AJL 33 nanti. Foto Nurul Syazana Rose Razman
AMYLEA berjanji akan memberikan persembahan terbaik pada malam kemuncak AJL 33 nanti. Foto Nurul Syazana Rose Razman

Tubuh menggeletar, fikiran runsing gara-gara AJL 33

KUALA LUMPUR: Gara-gara terlalu memikirkan persiapan menjelang kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33 pada 3 Februari ini, Amylea Azizan mengakui, pernah berdepan serangan panik.

Amylea berkata, tubuhnya tiba-tiba menggeletar kerana terlalu gusar apabila belum sempat membuat persiapan penuh untuk lagu duet bersama Kaer, Tak Pernah Hilang.

“Biarpun sudah melakukan pelbagai persediaan, saya rasa semua usaha itu belum memadai untuk membuatkan saya yakin beraksi di pentas AJL 33.

“Mungkin itu hanya perasaan, namun saya tidak pasti. Memandangkan ini kali pertama saya layak bersaing di pentas besar itu, sudah pasti saya mahu memberikan persembahan yang membanggakan semua.

“Lantaran terlalu runsing, ada ketika tubuh saya menggeletar. Saya perlu fokus kerana tidak mahu menghampakan mereka yang meletakkan harapan untuk lagu ini,” katanya.

BERSAMA rakan duetnya untuk lagu Tak Pernah Hilang, Kaer. Foto NSTP
BERSAMA rakan duetnya untuk lagu Tak Pernah Hilang, Kaer. Foto NSTP

Amylea berkata, dia semakin serius menjalani rutin senaman bagi menambah kecergasan sebaik saja Tak Pernah Hilang diumumkan layak ke final AJL 33.

Setiap hari, penyanyi yang dicungkil menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim ketiga itu akan memperuntukkan dua jam untuk bersenam di bawah tunjuk ajar jurulatih peribadi.

“Sebenarnya, sebelum bersaing pada Separuh Akhir Muzik Muzik lagi saya sudah mula fokus menjaga kesihatan.

“Selain mahu badan lebih ringan, saya juga perlu memastikan stamina berada pada tahap terbaik. Maklum, saya bukan remaja lagi. Jika tidak ke gimnasium, saya akan mendaki di kawasan berdekatan kediaman,” katanya.

Sementara itu, Amylea berkata, dia ralat apabila sebahagian peminatnya dan Kaer tidak berkesempatan untuk bersama mereka pada malam AJL 33 nanti gara-gara kehabisan tiket.

“Sedih sangat kerana mereka sudah membuat pelbagai persiapan sebagai tanda sokongan. Apakan daya, rezeki mungkin tidak menyebelahi mereka kali ini.

“Namun, saya berharap semua penonton yang berada di Axiata Arena nanti, tidak kira siapa juga artis kegemaran mereka akan memberikan sokongan supaya kami lebih bersemangat membuat persembahan,” katanya.

Berita Harian X