Ahad, 6 Januari 2019 | 12:04pm
PELAKON, Azar Azmi, berharap dapat menghidupkan watak jahat, Juita, dalam drama Nur 2 dengan sebaiknya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Azar gementar jadi wanita jahat dalam Nur 2

KUALA LUMPUR: Pelakon, Azar Azmi, mengaku gementar apabila dipilih menjayakan watak antagonis bernama Juita dalam drama rantaian, Nur 2.

Kehadiran watak berkenaan dijangka menambahkan lagi konflik dalam drama yang pernah mencipta fenomena apabila ia ditayangkan menerusi TV3, Ramadan lalu.

Bercakap kepada BH Online, Azar berkata, dia memang tidak menyangka apabila terpilih memegang watak terbabit, yang menjadi bualan ramai sejak beberapa minggu lalu.

“Seperti biasa, saya cuma memberikan yang terbaik ketika sesi uji bakat diadakan. Kini, saya jadi lebih gementar apabila watak itu berada dalam genggaman.

“Saya cuma berharap, diri ini mampu menterjemahkan keinginan pengarah, Shahrulezad Mohameddin, untuk watak terbabit dengan sebaik mungkin,” kata artis yang kini dapat disaksikan lakonannya menerusi drama, Pujaan Hati Kanda.

Kata Azar, 29, berdasarkan pemahamannya, Juita adalah wanita yang tidak mudah dijangkakan tindakan dan perlakuannya.

“Walaupun saya pernah membawakan watak antagonis yang sering mengundang kebencian ramai, sebelum ini, watak Juita nyata mempunyai sisi berbeza. Ia juga bukan watak yang kecil.

“Insya-Allah, saya akan cuba memberikan persembahan terbaik sebagai Juita. Apa pun, saya teruja kerana dapat menjadi sebahagian daripada drama yang diperkatakan ramai, sejak tahun lalu,” katanya.

Biarpun hanya kebelakangan ini namanya mula mendapat perhatian, Azar pada hakikatnya mula menceburkan diri dalam lakonan sejak zaman remaja. Ketika itu, dia sering menjayakan watak tambahan.

Selepas menyertai pertandingan Dewi Remaja 2010, dia memperlahankan rentak seni selama lima tahun. Hanya pada 2015 dirinya kembali aktif mengasah bakat lakonan.

Kelmarin, teka-teki siapa bakal menggalas watak antagonis bernama Juita dalam kisah susulan Nur terjawab apabila tuah menyebelahi Azar.

Nur 2 dijangka menemui penonton menerusi slot Samarinda TV3 pada 2 April depan. Ia menyaksikan kemunculan pelakon asalnya seperti Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Raja Atiq, Fatimah Abu Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan, Noorkhiriah dan Azhan Rani.

Pada Anugerah Skrin 2018, Nur cemerlang dengan tiga anugerah, iaitu Drama Rantaian Terbaik (kategori Bahasa Melayu), Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian (Syafiq Kyle) dan Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian (Amyra Rosli).

Berita Harian X