Isnin, 31 Disember 2018 | 4:40pm
NORYN bersyukur karier nyanyiannya kembali bernafas pada 2018. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Noryn tak kisah peminat panggil 'auntie'

KUALA LUMPUR: Kejayaan meraih gelaran juara Gegar Vaganza (GV) musim kelima selepas tujuh tahun menyepi menjadi antara kenangan paling manis untuk diingati Noryn Aziz sepanjang 2018.

Bersyukur karier nyanyiannya kembali bernafas, Noryn atau nama sebenarnya, Norazmahwati Abdul Aziz, 42, mengakui, tidak pernah menyangka kembali diberi kesempatan untuk meneguk kemanisan sebagai penyanyi.

"Pernah dulu, saya fikir kerjaya nyanyian akan berkubur kerana sudah jarang membuat persembahan, kecuali sesekali memenuhi undangan korporat.

“Ramai yang beranggapan saya tidak lagi aktif, malah nama saya juga sudah dilupakan. Tidak sangka, saya mampu bangkit semula selepas menyertai GV5,” katanya.

Akui Noryn, biarpun ada segelintir pihak tidak bersetuju apabila menyertai pertandingan itu, dia masih berusaha membawa bakatnya ke tahap lebih tinggi.

Akuinya, dahulu hanya kelompok tertentu yang menyedari kehadirannya, malah kerjaya nyanyiannya juga tidak melangkah jauh.

“Memang ada yang mengetahui Fantasi O Realiti, tetapi lagu itu sudah 20 tahun dirakamkan.

“Saya mahu mencuba pasaran baharu dan membuktikan bakat saya tidak hanya terbatas kepada lagu jazz dan soul,” katanya.

Noryn berkata, walaupun ada yang menganggapnya sebagai penyanyi eksklusif, dia pula ingin menjadi lebih versatil.

"Saya terkejut apabila kemunculan semula mendapat sokongan peminat generasi muda. Ada di antara mereka yang memanggil saya 'auntie', tetapi saya tidak kisah.

"Ia bermakna peminat berusia belasan tahun turut mengikuti perkembangan kerjaya saya selepas muncul juara GV5," katanya.

Bakal berkongsi pentas dengan dua penyanyi bersuara hebat, Misha Omar dan Siti Sarah menerusi Konsert Soul Sisters, Noryn berkata, dia masih membuat pilihan senarai lagu yang bakal dinyanyikan.

Konsert anjuran Edd Razhe Entertainment itu akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 5 dan 6 April depan.

Berita Harian X