Rabu, 26 Disember 2018 | 2:35pm
Izzue (dua dari kanan) bersikap terbuka jika ahli Forteen mahu merakamkan single baharu dengannya selepas berundur daripada band itu. - Ihsan IG Izzue Islam
Izzue (dua dari kanan) bersikap terbuka jika ahli Forteen mahu merakamkan single baharu dengannya selepas berundur daripada band itu. - Ihsan IG Izzue Islam

Tiada masalah rakam lagu baharu dengan Forteen - Izzue Islam

KUALA LUMPUR: Dunia hiburan kecoh dengan berita pengunduran Izzue Islam daripada kumpulan Forteen. Maklum sahaja, acap kali sebelum itu, masing-masing mengeluarkan kenyataan kumpulan terbabit masih utuh bersama walaupun ada anggotanya muncul dengan produk solo.

Namun, insiden ‘terasa hati’ mendorong penyanyi dan pelakon terbabit nekad meninggalkan kumpulan berkenaan. Biarpun masing-masing sudah bertemu mata dan meleraikan kekusutan melanda, Izzue tidak mengubah keputusan untuk melangkah keluar daripada jenama yang membantu mengukuhkan kedudukannya dalam arena seni.

Ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini, bagi mempromosikan filem terbaru lakonannya, XX Ray 3, Izzue sempat ditanya mengenai perkembangan terkini dirinya selepas bergerak solo.

Menurut jejaka berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu, sehingga kini, kerjaya seninya bergerak seperti biasa, kira-kira sebulan selepas membuat pengumuman mengejutkan itu.

Tegas Izzue atau sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 28, pengundurannya daripada kumpulan berkenaan tidak meninggalkan kesan negatif, walaupun keputusan terbabit sudah pasti mendapat tentangan ramai.

Izzue yang turut berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan berkata, dirinya juga lega apabila kontroversi mengenai pengundurannya daripada kumpulan yang cukup dikenali dengan lagu Berdua Bersatu dan Dekat Tapi Jauh itu sudah semakin kurang diperkatakan.

“Sebelum saya berundur daripada Forteen, saya sebenarnya sudah kerap kali bergerak secara solo, seperti dalam bidang lakonan. Jadi, apabila saya tidak lagi bersama mereka, perbezaannya tidak banyak dirasa. Saya sebaliknya berasakan, ia sama sahaja jika dilihat kepada apa yang saya lakukan dulu dan sekarang.

“Begitupun, jika mahu bercakap soal perasaan, tidak dinafikan saya rasakan ketiadaan mereka. Maklumlah, kami sudah bersama selama tujuh tahun, jadi takkanlah tiada rasa apa-apa. Apatah lagi, bekerja dengan mereka sangat menyeronokkan,” katanya.

Nilai persahabatan antara mereka juga bagi Izzue lebih besar maknanya berbanding isu yang berbangkit sebelum ini. Justeru, dia amat gembira apabila mampu mengekalkan hubungan baik bersama Ariz, One dan Ameer.

“Hubungan kami tetap baik. Amat sayang sekali rasanya jika persahabatan itu terputus atau kami bermasam muka hanya disebabkan perkara terbabit. Tujuh tahun lamanya kami bersama-sama dalam muzik.

“Bahkan, jika ada peluang untuk saya bekerjasama dengan mereka selepas ini, saya terbuka untuk menjayakannya,” kata Izzue yang pernah berlakon dalam filem seperti 29 Februari, Songlap, Suami Aku Ustaz, Mat Tudung, Kami Histeri dan Hantu Kapcai.

Saat dirinya nekad untuk tidak lagi mengejar impian dalam bidang nyanyian bersama kumpulan itu, Izzue tak menafikan masih ada peminat yang memujuknya agar mempertimbangkan semula tindakan berkenaan. Begitupun, kata Izzue, keputusan dibuatnya adalah muktamad.

Ditanya mengenai nasib single terbaru Forteen yang dirakam mereka sebelum pengundurannya daripada kumpulan itu, Izzue memberitahu, dia tidak kisah andainya lagu berkenaan dikeluarkan.

Namun begitu, ujar pemuda berkulit cerah ini, anggota Forteen yang lain sepakat untuk merakamkan single baharu.

“Mereka merakamkan lagu baharu yang lebih sesuai dengan penampilan Forteen selepas Gegar Vaganza 5. Saya tidak menafikan, memang kami merancang untuk mengeluarkan single baharu selepas program berkenaan, namun disebabkan pengunduran saya, ia perlu dipertimbangkan semula.

“Saya bersikap terbuka sekiranya mereka mahu mengeluarkan lagu yang kami sudah rakam itu, dengan meletakkan saya sebagai teman duet. Saya sendiri sudah menelefon penerbit bertanyakan soal ini. Dia juga mengatakan tiada masalah untuk berbuat sedemikian.

“Pada masa sama, saya tiada sebarang masalah apabila mereka mahu merakamkan lagu baharu. Mereka sudah berbincang dengan saya,” katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai karya arahan Aziz M Osman yang akan menjengah pawagam mulai 24 Januari depan, Izzue berkata, sebagai peminat siri filem XX Ray, dia memang tidak menyangka dapat menjadi sebahagian daripada pelakon untuk judul susulan naskhah yang pernah mencipta fenomena itu.

Filem XX Ray yang diterbitkan pada 1992 menjadi bualan ramai apabila ia dilihat sebagai naskhah revolusi dalam perfileman negara, malah pernah diangkat sebagai pemenang Anugerah Khas Juri, Festival Filem Malaysia ke-10 atas penggunaan kesan khasnya.

“Saya adalah peminat filem XX Ray dan apabila mendapat tahu abang Aziz nak buat filem ketiga, memang saya teruja. Syukur saya terpilih menjadi sebahagian daripada penggerak XX Ray 3. Terima kasih kepada abang Aziz kerana memberikan saya peluang ini,” katanya.

Dalam filem terbaru itu, Izzue memegang watak Ryan, iaitu pelajar pintar dalam ilmu sains dan fizik. Ryan juga peminat dan pengkaji makhluk asing.

Berkongsi pengalaman pertamanya bekerja bersama pengarah kreatif terbabit, Izzue berkata, ia sesuatu yang sangat menarik, terutama buat orang baharu sepertinya.

“Abang Aziz seorang pengarah yang tegas dan tahu apa yang beliau mahu tonjolkan dalam filem. Beliau yang menulis dan mengkaji cerita ini, jadi kami mengikut sahaja sebagaimana yang diminta. Saya juga banyak duduk bersamanya bagi mendalami watak Ryan.

“Saya dapat berasakan cabarannya dalam menghidupkan watak Ryan. Saya perlu membuatkan penonton yakin saya adalah pelajar yang mahir dalam ilmu sains. Jadi, skrip saya perlu seiring dengan watak,” katanya.

Selain Izzue, XX Ray 3 turut dibintangi Ardell Aryana, Saiful Apek, Datuk Jalaluddin Hassan, Adam John, Dazrin Kamaruddin dan Ashraf Muslim.

Berita Harian X