Isnin, 3 Disember 2018 | 1:31pm
SITI menyerahkan soal kemungkinan single Anta Permana dicalonkan pada Muzik Muzik 34 kepada komposernya iaitu Hael Husaini dan Ezra Kong. Secara peribadi, Siti memilih Ernie Zakri menggantikannya jika lagu itu bertanding kelak. - Foto Instagram Siti Nurhaliza
SITI menyerahkan soal kemungkinan single Anta Permana dicalonkan pada Muzik Muzik 34 kepada komposernya iaitu Hael Husaini dan Ezra Kong. Secara peribadi, Siti memilih Ernie Zakri menggantikannya jika lagu itu bertanding kelak. - Foto Instagram Siti Nurhaliza

'Ernie Zakri boleh ganti saya'

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Siti Nurhaliza bersikap terbuka jika pencipta lagu Anta Permana, Hael Husaini dan Ezra Kong mahu mencalonkan single itu dalam Muzik Muzik 34, biarpun beliau sudah tidak lagi bertanding pada Anugerah Juara Lagu (AJL).

Mencipta rekod dengan lebih 6.4 juta tontonan dalam tempoh sebulan sebaik dilancarkan di YouTube, single Anta Permana yang menyaksikan persembahan vokal berbeza daripada Siti, pantas menarik perhatian hingga rakaman video parodi tular.

Siti, 39, memberitahu, Hael dan Ezra pernah bertanya dirinya mengenai kemungkinan mereka mencalonkan lagu Anta Permana dalam MM34.

“Hael dan Ezra pernah bertanya kepada saya soal ini dan kami sudah berbincang. AJL adalah pertandingan lagu, jadi terpulang kepada mereka untuk menyertainya,” katanya kepada BH Online.

Kali terakhir Siti beraksi di pentas AJL adalah pada 2007 mendendangkan lagu Destinasi Cinta.

Siti juga menyerahkan soal penyanyi pengganti yang bakal mendendangkan lagu berkenaan di tangan komposer.

“Saya tak kisah lagu ini dicalonkan tapi untuk memilih siapa penyanyinya, saya letakkan keputusan di tangan mereka.

“Hael dan Ezra yang akan memilih siapa yang patut menyanyi.

“Namun, secara peribadi, saya membayangkan Ernie Zakri. Ini kerana saya suka melihat kemampuan Ernie dalam menyanyikan lagu tradisional dan balada,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti sibuk membuat persiapan menjayakan konsert solo di Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Namun, butiran lanjut mengenai projek besar itu hanya akan dikongsi pada sidang media pada 17 Disember ini.

“Buat masa ini, saya belum lagi boleh berkongsi maklumat lanjut. Insya-Allah pada sidang media nanti saya kongsi banyak perkara.

“Saya sangat gembira untuk konsert ini, kali terakhir saya mengadakan konsert yang besar dan gah adalah konsert Siti & Friends .

“Saya mahu ulangi kegemilangan itu dengan mengadakan konsert di tiga negara,” katanya.

Namun, Siti mengaku bukan mudah menjayakan konsert berskala besar selepas lama berehat sejak melahirkan Siti Aafiyah.

“Mahu mendapatkan momentum semula dan menyanyikan lagu bernota tinggi... Semuanya memerlukan stamina yang baik.

“Seperti enjin kereta, apabila sudah lama tidak digunakan, ia akan karat... Sama juga dengan saya,” katanya.

Minggu lalu, Siti melancarkan program amal SimplySiti Di Hati 2018 di ibu negara bagi membantu kanak-kanak penghidap sakit jantung menjalani pembedahan.

Berita Harian X