Khamis, 29 November 2018 | 2:20pm
PUTERI Aishah mahu meningkatkan mutu lakonan dengan mencuba pelbagai watak. Namun, dia enggan terus dibayangi dengan watak Thom yang dibawa dalam filem arahan Kabir Bhatia, Pulang. - Foto IG Puteri Aishah
PUTERI Aishah mahu meningkatkan mutu lakonan dengan mencuba pelbagai watak. Namun, dia enggan terus dibayangi dengan watak Thom yang dibawa dalam filem arahan Kabir Bhatia, Pulang. - Foto IG Puteri Aishah

Tak main 'sambar' watak

KUALA LUMPUR: Selepas melakonkan watak Thom dalam filem Pulang, Puteri Aishah mengaku lebih berhati-hati menimbang tawaran produksi layar perak.

Enggan terburu-buru atau dibayangi watak berat yang dibawa dalam filem arahan Kabir Bhatia itu, Aishah sebaliknya menunggu watak sesuai demi reputasi dan portfolio seninya.

“Selepas Pulang, memang ada tawaran filem yang diterima. Tapi saya tak mahu terburu-buru ambil semua tawaran.

“Saya bimbang dengan jangkaan penonton selepas watak Thom. Saya tak boleh ambil saja tawaran... Saya kena pilih karakter.

“Watak Thom memang berat... Saya risau tawaran selepas ini dibayangi atau dibandingkan dengan watak itu,” katanya kepada BH Online.

Aishah berkata, sering diberi watak protagonis, amanah sutradara untuk memikul sesuatu karakter bertentangan bukanlah sesuatu yang mudah.

Selepas kali pertama diberi watak jahat dalam drama Cik Cinderella dan Encik Tengku, si cantik ini diuji lagi melalui watak antagonis yang cukup mencabar dalam drama Selafaz Cinta.

Berkongsi pengalaman melakonkan watak individu ‘psiko’ atau mengalami gangguan jiwa dalam drama berkenaan, Aishah berkata:

“Saya sudah biasa dengan watak baik. Jadi, karakter jahat bukan mudah dibawa. Jahat yang ada dalam diri Liza iaitu watak dibawa, bukan jahat yang biasa... Saya kena jadi lain sedikit.

“Sehubungan itu, saya banyak membuat kajian dan menonton beberapa karakter jahat yang dihidupkan pelakon lain,” katanya.

Menghuraikan watak dibawa, Aishah menjelaskan, Liza boleh dianggap wanita jahat dan ‘psiko’ yang bijak melindungi sifat itu.

“Cuma watak jahat itu tidak terlalu ditonjol... Dia kaburi semua itu dengan sisi manis dalam diri. Bagi saya, banyak mainan ‘dalam’ bagi karakter ini,” katanya.

Aishah atau nama penuhnya, Puteri Aishah Sulaiman mengaku watak Liza cukup menguji mental.

“Penat dan tertekan membawa watak jahat. Saya tak pernah bawa watak sejahat Liza.

“Sebelum ini, karakter jahat saya lebih kepada menjadi insan yang dengki dengan orang lain. Watak Liza menuntut saya ‘melepaskan’ apa yang terbuku. Ia amat mencabar dan pada masa sama, menyeronokkan,” katanya.

Dalam drama Selafaz Cinta arahan Pali Yahya dan Eez Jalaluddin itu, Liza digambarkan cuba meruntuhkan rumah tangga Reza lakonan Saharul Ridzwan dan Jannah (Syatila Melvin).

“Saya tiada pengalaman mengganggu rumah tangga orang. Jadi saya menonton atau membaca artikel membabitkan kes seumpama itu.

“Saya juga teliti kisah kekasih dirampas orang lain. Saya serap semua itu demi menghidupkan watak Liza,” katanya

Ditanya apakah sudah serik melakonkan watak jahat, Aishah terbuka dengan apa saja tawaran diberi.

“Orang baharu macam saya memang kena cuba macam-macam karakter. Tidaklah bermaksud saya enggan terima lagi watak jahat. Cuma kalau ada peluang, saya akan perbaiki kelemahan yang ada,” katanya.

Berita Harian X