Selasa, 27 November 2018 | 2:57pm
ELLA menerima Anugerah Ikon Selebriti BrandLaureate pada majlis The BrandLaureate Brand Icon Leadership Awards 2018 di ibu kota, semalam. - Foto ihsan Ella
ELLA menerima Anugerah Ikon Selebriti BrandLaureate pada majlis The BrandLaureate Brand Icon Leadership Awards 2018 di ibu kota, semalam. - Foto ihsan Ella

Ella terima Anugerah Ikon Selebriti BrandLaureate

KUALA LUMPUR: Ratu Rock, Ella, menyifatkan Anugerah Ikon Selebriti BrandLaureate yang diberikan kepadanya sebagai pengiktirafan terbesar sepanjang lebih tiga dekad berkecimpung dalam bidang seni.

Ella atau nama lengkapnya Nor Zila Aminuddin, 52, berkata anugerah berkenaan turut menterjemahkan kejayaan semua yang terbabit dalam membina nama, kerjaya dan jenamanya.

Tegasnya, tanpa sokongan mereka, beliau takkan berada pada kedudukannya hari ini.

“Saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada penganjur kerana memberikan pengiktirafan sebesar ini kepada saya.

"Tanpa kerja berpasukan dan sokongan peminat, tidak mungkin jenama saya kekal dan kukuh dalam industri muzik tanah air sehingga kini,” katanya kepada BH Online menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Anugerah terbabit disampaikan oleh Pengerusi Asia Pacific Brands Foundation (APBF), Tan Sri Rainer Althoff, dalam majlis khas yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

Anugerah berprestij dalam dunia penjenamaan berkenaan mengiktiraf penyanyi Standing in the Eyes of the World itu hasil pencapaiannya dalam industri muzik tempatan serta kejayaannya membina jenama sebagai ikon rock wanita terkenal di rantau ini.

Ella yang mula mencipta nama di arena seni sekitar 1985 bersama kumpulan The Boys sehingga kini memiliki kira-kira 10 album solo studio, selain turut berlakon dalam empat filem.

The BrandLaureate Brand Icon Leadership Awards mula diperkenalkan APBF bagi meraikan kehebatan ikon jenama yang menyumbang kepada pembangunan negara dan ekonomi dengan pemikiran serta idea inovatif.

Berita Harian X