Rabu, 21 November 2018 | 9:10pm
NORYN tidak berkecil hati dengan teguran terbuka Ogy mengenai mutu persembahannya ketika menyertai GV5. - Foto SYARAFIQ ABD SAMAD

'Kami tiada masalah, tak perlu besarkan isu itu'

KUALA LUMPUR: Juara Gegar Vaganza (GV) musim kelima, Noryn Aziz tidak mengambil hati dengan kritikan primadona filem Melayu, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy di laman sosial mengenai persembahannya dalam program itu.

Noryn, 41, sebaliknya menerima teguran diberikan dengan hati yang terbuka dan memandangnya dari sudut positif kerana menghormati pelakon itu yang jauh lebih berpengalaman.

“Saya tidak terasa hati, malah berterima kasih kepada kak Ogy kerana saya kerana pernah belajar dengannya. Dia tahu apa yang saya buat ketika di pentas.

“Saya hormati pendapatnya, jadi tidak timbul isu saya berkecil hati. Kami pernah berhubung dan dia ada memberi pendapat mengenai persembahan serta mengajar saya cara menghayati lagu.

“Antara kami tidak pernah berselisih faham dan saya tidak mahu isu sebegini dibesar-besarkan,” katanya.

Sementara itu, Noryn memaklumkan, dia teringin berguru dengan pelakon itu sekiranya diberi peluang menceburi bidang lakonan.

Dia yang mengagumi bakat Ogy berkata, setiap lakonan yang diberikan primadona filem Melayu itu cukup meninggalkan kesan membuatkan dia ingin menimba ilmu dengan pelakon berusia 56 tahun itu.

“Saya suka belajar benda baharu dan andai diberi peluang terbabit dalam dunia lakonan, mungkin saya akan terima. Tetapi, saya ingin berguru dengan Kak Ogy.

“Keutamaan saya tetap bidang nyanyian, namun untuk menjadi artis versatil, kita perlu pelbagaikan bakat. Kalau tidak cuba, kita tidak tahu keupayaan kita,” katanya.

Berita Harian X