Isnin, 19 November 2018 | 1:31pm
IZZUE (dua dari kiri) mengejutkan peminat apabila mengumumkan meninggalkan kumpulan Forteen ketika tampil di segmen karpet merah GV5 di Shah Alam, malam tadi. - Foto IG Izzue Islam
IZZUE (dua dari kiri) mengejutkan peminat apabila mengumumkan meninggalkan kumpulan Forteen ketika tampil di segmen karpet merah GV5 di Shah Alam, malam tadi. - Foto IG Izzue Islam

Izzue buat keputusan sendiri - Ariz Lufias

KUALA LUMPUR: Keputusan pelakon dan penyanyi, Izzue Islam menarik diri daripada Forteen bukan saja mengejutkan peminat, malah menimbulkan persoalan kepada anggota kumpulan itu.

Mengaku timbul salah faham berhubung perkara itu, salah seorang anggota Forteen, Ariz Lufias, 29, berkata, keputusan Izzue kurang bijak malah dibuat terburu-buru tanpa berfikir panjang atau berbincang dengan ahli yang lain.

“Kami sangat terkejut dan ini bukan gimik. Memang ada sedikit insiden berlaku antara kami, tetapi untuk dia buat keputusan (keluar dari Forteen) tanpa berbincang adalah sesuatu yang mengejutkan.

“Lumrah sesebuah kumpulan muzik akan ada masalah dan salah faham. Cuma, sebelum ini, kalau ada apa-apa masalah, kami akan berbincang.

“Ini kerana kami sudah tujuh tahun bersama dan sudah macam adik-beradik,” katanya kepada BH Online.

Malam tadi, Izzue mengejutkan peminat apabila mengumumkan meninggalkan Forteen ketika melangkah di segmen karpet merah pentas akhir musim kelima Gegar Vaganza (GV5) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Shah Alam.

Tanpa menyatakan alasan kukuh, Izzue menganggap dirinya tidak lagi sesuai berada dalam Forteen berikutan prestasinya kurang memuaskan.

Ariz berkata, anggota kumpulan itu digabungkan pada sesi uji bakat dan cukup mengenali antara satu sama lain.

“Kalau ada masalah, kami berbincang dan apabila timbul masalah kecil macam ini, ia cukup mengejutkan kami.

“Kami pernah tanya Izzue ketika bertarung dalam GV5, kalau ada masalah bagi tahu dan kita boleh berbincang.

“Setiap kali nampak dia lain macam, kami akan bertanya dan ajak berbincang. Kami sudah rancang macam-macam projek selepas GV5, tiba-tiba jadi macam ini,” katanya.

Akan bersemuka dengan vokalis itu, Ariz bagaimanapun berkata, dia dan teman-teman mahu memberi masa kepada Izzue untuk bersendirian dan bertenang.

Tambah Ariz, Forteen bagaimanapun akan bergerak secara bertiga membabitkan dirinya, One dan Ameer.

“Kami akan bergerak bertiga... Sebelum ini, kami memang bertiga dan tak mustahil akan tambah ahli di masa depan,” katanya.

Ariz berkata, Izzue adalah vokalis utama kumpulan dan bakatnya sangat diperlukan.

“Semua peserta GV5 jika diikutkan tertekan dengan komitmen dan tugasan mingguan... Semua orang rasa.

“Malah, ketika kami terkeluar daripada GV, Forteen mendapat komen positif semua orang.

“Kalau Izzue anggap dirinya sudah tak ada fungsi dalam Forteen, mana mungkin dia mampu berada bersama kami selama tujuh tahun,” katanya.

Berita Harian X