Khamis, 1 November 2018 | 4:56pm
MISHA Omar ketika hadir pada majlis pelancaran video muzik Sampai Bila di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rosela Ismail
MISHA Omar ketika hadir pada majlis pelancaran video muzik Sampai Bila di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rosela Ismail
PENYANYI Misha Omar. - Foto Rosela Ismail
PENYANYI Misha Omar. - Foto Rosela Ismail

Misha menangis kenang ujian rakam Sampai Bila

KUALA LUMPUR: Penyanyi Misha Omar menitiskan air mata pada majlis pelancaran video muzik single Sampai Bila mengenangkan ujian yang dihadapinya menyiapkan karya itu.

Misha, 36, berkongsi getir merakamkan single terbarunya itu ketika anak lelakinya, Muhammad Idris Ezzwa yang berusia dua tahun, memerlukan perhatian dan penjagaan rapi saat dirinya ‘bergelut’ dalam studio.

“Sejak bergelar ibu, saya mudah menitiskan air mata. Saya terharu dengan kejayaan pelancaran muzik video pada hari ini... Ia memberi kepuasan yang sukar diungkapkan.

“Ketika merakamkan lagu ini, Idris kerap berdepan masalah kesihatan yang tidak dapat saya kongsi kepada umum.

“Atas nasihat doktor, lebih kurang setahun Idris ‘berkurung’ di rumah kerana dia mudah terdedah dengan penyakit.

“Selain itu, keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan hingga kerap hilang suara. Saya turut mengambil kelas vokal bagi memperbaiki suara selepas melahirkan Idris,” katanya pada majlis pelancaran video muzik Sampai Bila di sini, hari ini.

Misha atau nama penuhnya, Samihah @Aisah Omar mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Firoz Ezzwan Rossly pada 2014.

Single Sampai Bila yang dicipta Sharon Paul dengan lirik nukilan Fedtri Yahya dan Shah Shamsiri, dilancarkan Mei lalu, iaitu selepas hampir dua tahun Misha berehat.

Misha menyifatkan Sampai Bila memberi kesan mendalam terhadap kehidupannya dan berharap single itu dapat memberi kekuatan kepada individu lain berdepan ujian hidup.

“Lagu ini memberi maksud yang mendalam dalam hidup. Saya pernah mempersoal dugaan yang sedang dilalui.

“Saya juga pernah hampir menyerah... Saya bersyukur diberi sumber kekuatan oleh suami, keluarga dan peminat untuk tampil dengan single terbaharu,” katanya.

Misha juga bersyukur karyanya kembali diperkatakan selepas Sampai Bila diterima pendengar.

“Secara jujur, saya anggap 2018 sebagai tahun kemerdekaan buat kerjaya saya yang kembali lancar sejak Sampai Bila diperkenalkan,” katanya.

Berita Harian X