Ahad, 28 Oktober 2018 | 6:33pm
NAZREY bergandingan dengan Monoloque menghasilkan Iman Baru.
NAZREY bergandingan dengan Monoloque menghasilkan Iman Baru.

Gandingan unik Nazrey, Monoloque dalam Iman Baru

KUALA LUMPUR: Meskipun perkembangan irama nasyid sudah tidak lagi serancak dulu, bekas penyanyi kumpulan Raihan, Nazrey Johani masih belum berputus asa untuk mengembalikan kegemilangan genre itu.

Nazrey, 46, menjadikan 2018 sebagai tahun untuk kembali menghangatkan industri muzik menerusi single terbaru, Iman Baru, kerjasamanya bersama Monoloque.

Menerusi gandingan unik itu, Nazrey percaya, Iman Baru menyajikan lagu dakwah yang lain daripada kebiasaan untuk diketengahkan kepada umum.

"Apa yang saya suka mengenai Monoloque, dia berani mengetengahkan idea yang jarang dibuat pengkarya lain.

"Baginya, tradisi Melayu itu sangat halus dan lembut, namun ramai yang sudah lupakan jati diri. Menerusi lagu ini, Monoloque cuba membawa kita kembali kepada jati diri yang sebenar," katanya.

Loque pula berpendapat, peluang bekerjasama dengan penyanyi legenda nasyid sebagai penghormatan besar buat dirinya.

Monoloque. - Arkib NSTP
Monoloque. - Arkib NSTP

Lagu itu diterbitkan hasil kerjasama Perbadanan Muzium Negeri Pahang sebagai usaha untuk mempromosikan Muzium Sultan Abdullah menerusi muzik.

Pengarahnya, Datuk Ahmad Farid Abd Jalal berkata, keunikan genre muzik yang diketengahkan Monoloque membuktikan kesungguhannya sebagai pengkarya dalam menonjolkan budaya Melayu untuk disesuaikan dengan pasaran semasa.

"Monoloque membawa muzik yang segar, tidak sambil lewa dan kadangkala sangat eksperimental.

"Kami yakin ia akan dapat menarik lebih ramai golongan yang selama ini tercari-cari lagu dakwah yang segar untuk mendengar lagu ini.

"Pembikinan lagu ini bersesuaian dengan peranan Perbadanan Muzium Negeri Pahang dalam memelihara dan mengetengahkan warisan budaya Melayu menerusi pelbagai medium," katanya.

Bersama Raihan, Nazrey pernah meraih perhatian menerusi album Puji-Pujian (1996), Allahu (2004) dan Musafir Perjuangan (2010).

Berita Harian X