Isnin, 22 Oktober 2018 | 9:41am
ASMIDAR. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
ASMIDAR. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Tak lupa kenangan dengan arwah Pak Ngah

KUALA LUMPUR: Pengalaman merakamkan lagu joget yang digubah semula Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain di studio milik komposer irama Malaysia itu tidak akan dilupakan penyanyi Asmidar sampai bila-bila.

Asmidar yang juga bekas juara program realiti, Vokal Bukan Sekadar Rupa memberitahu, detik bekerjasama dengan Pak Ngah, kira-kira sebulan lalu dianggap manis dan berharga buat dirinya.

Difahamkan, Asmidar menjadi antara artis terakhir yang berpeluang menggunakan khidmat Pak Ngah yang meninggal dunia pada 25 September lalu.

“Kurang pasti sama ada saya artis terakhir yang berpeluang menggunakan khidmat arwah... Wallahualam.

“Tapi yang saya tahu arwah ada cakap saya adalah artis wanita pertama menyanyi dan merakamkan suara di studio baharu miliknya di Setapak.

“Dalam hati, memanglah ‘berbunga-bunga’ dan rasa seronok,” katanya kepada BH Online.

Pak Ngah meninggal dunia pada jam 3.05 petang di Batam, Indonesia pada 25 September lalu. Allahyarham dilaporkan mengalami komplikasi beberapa penyakit seperti jantung, paru-paru berair dan kencing manis.

Menceritakan lebih lanjut kenangan bekerja dengan arwah, Asmidar berkata, lagu joget yang dirakam bukanlah ciptaan Pak Ngah.

“Ia adalah lagu untuk sebuah pertandingan tarian. Arwah banyak bimbing saya menjaga vokal dan nyanyian sepanjang menyempurnakan rakaman itu.

“Seronok sangat ketika bekerja di studio itu... Saya masih ingat, arwah Pak Ngah ada mengambil video semasa rakaman dikendalikan,” katanya.

Asmidar yang pernah popular dengan lagu Biar Sampai Ke Bintang bagaimanapun tidak berpeluang merakamkan lagu ciptaan arwah.

“Selama ini, saya banyak menyumbangkan suara demo untuk lagunya sebelum dirakam penyanyi lain.

“Selain itu, saya ada nyanyi lagu ciptaannya untuk projek atau acara tertentu,” katanya.

Berita Harian X