Isnin, 15 Oktober 2018 | 7:36pm
DATUK Seri Siti Nurhaliza, kini popular dengan lagu Anta Permana. - Foto Mahzir Mat Isa
DATUK Seri Siti Nurhaliza, kini popular dengan lagu Anta Permana. - Foto Mahzir Mat Isa

Ramai sahut cabaran qasidah Anta Permana

Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkemuka, Datuk Seri Siti Nurhaliza, mengaku pada awalnya beliau ragu-ragu apabila memperkenalkan cabaran qasidah atau #qasidahchallenge sempena kemunculan single baharu, Anta Permana.

Begitupun, keraguannya nyata tidak berasas apabila cabaran berkenaan disahut bukan sahaja oleh golongan artis, malah peminat penyanyi itu sendiri.

Bahkan, lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu juga terus mendapat sambutan baik apabila ia masih mengekalkan kedudukan teratas pada carta iTunes negara ini, sejak dilancarkan pada 21 September lalu.

“Kekuatan lagu ini terletak pada lenggok klasiknya, termasuk penggunaan qasidah. Justeru, kita terfikir kenapa tidak diwujudkan cabaran sedemikian bagi mencipta kelainan? Semuanya bermula dengan penyanyi, Khai Bahar, ketika kami bertemu pada Anugerah Planet Muzik 2018 di Singapura, baru-baru ini. Kemudian, dia mencabar penyanyi lain pula untuk berqasidah, menyanyikan lagu Anta Permana.

“Ia disahut ramai rakan artis lain termasuk Wany Hasrita, Ernie Zakri, Aisyah Aziz, Hazama, Achey dan Hael sendiri. Mereka juga turut mencabar sesama artis.

“Secara jujur, pada awalnya pihak Siti ragu-ragu mengenai cabaran ini kerana bimbang takkan mendapat sambutan. Maklumlah, bukan semua orang berani berqasidah,” katanya yang turut meluahkan keterujaan apabila cabaran terbabit juga mendapat sambutan dalam kalangan peminat dan pengikut Instagramnya.

Menurut Siti, pihaknya sendiri giat membuat kompilasi nyanyian qasidah oleh mereka yang menyahut cabaran berkenaan untuk dikongsi di laman sosial.

“Bukan sekadar cabaran berqasidah, tarian lagu Anta Permana seperti yang dapat disaksikan dalam video muziknya juga menjadi ikutan ramai,” katanya.

Kata Siti, beliau kini mempertimbangkan untuk memanjangkan cabaran terbabit kepada wakil media pula.

“Memang Siti dan pengurusan mempunyai hasrat untuk meminta rakan media turut menyertai cabaran ini. Siti tahu, ramai kalangan orang media yang berbakat dalam nyanyian,” katanya.

Berita Harian X