Sabtu, 13 Oktober 2018 | 10:07am
PENYANYI, Khai Bahar, pada malam kemuncak ABPBH 31 di PICC. - Foto Aziah Azmee
PEMENANG kategori penyanyi popular, Khai Bahar dan Wany Hasrita. Penyanyi wanita itu juga diumumkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 31. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

'Bukan rezeki saya julang trofi Bintang Paling Popular'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Khai Bahar, akur rezeki berpihak kepada Wany Hasrita untuk menggenggam trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 7 Oktober lalu, malam kemuncak anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu menyaksikan Wany menjulang trofi berkenaan apabila meraih 2,052,997 undi menerusi kategori Penyanyi Wanita Popular.

Sebelum itu, penyanyi lagu Luluh terbabit disebut-sebut antara artis yang mampu membawa pulang trofi utama berkenaan berdasarkan pencapaiannya sejak akhir-akhir ini.

Begitupun, jejaka berasal dari Perlis itu tidak pulang dengan tangan kosong apabila berjaya mempertahankan kemenangan dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular, membolehkannya mengumpul sejumlah 18 trofi dalam bidang seni sehingga hari ini.

“Saya sebenarnya sudah cukup gembira apabila dapat mempertahankan trofi Penyanyi Lelaki Popular yang dimenangi tahun lalu.

“Memang saya sedar harapan peminat yang mahu melihat saya memenangi trofi Bintang Paling Popular, kali ini. Namun, bukan rezeki saya pada malam itu. Apapun, saya tumpang gembira dan bangga atas kejayaan teman seperjuangan, Wany,” katanya.

Khai, 24, yang baru saja muncul dengan single berjudul #123 berkata, dia juga maklum sebahagian peminatnya kecewa apabila gagal membawa pulang anugerah utama terbabit.

“Saya cuma berharap mereka akan terus memandang ke hadapan.

“Jujurnya, apabila memenangi sesebuah trofi, ia bukan sekadar tanggungjawab dan menjadi pencetus semangat untuk saya terus menghasilkan sesuatu yang terbaik pada masa akan datang, malah dalam masa sama seakan-akan satu tekanan.

“Peminat atau pemerhati di luar sana mungkin berasakan, saya akan terus menang dan menang lagi,” katanya yang baru dua tahun menjadi anak seni.

Khai bagaimanapun berkata, dia bertuah apabila terus mendapat sokongan padu daripada penggemar seni hiburan, terutama kelab peminat, Khai Bahar Empire.

“Saya berada pada tahap sekarang berkat sokongan dan undian mereka. Kegigihan masing-masing untuk memastikan saya menang amat dihargai. Malah, saya tahu ada yang tidak cukup tidur sebab mengundi saya.

“Kasih sayang saya buat mereka memang tidak berpenghujung, seperti tema ABPBH 31 sendiri, Infiniti,” katanya.

Berita Harian X