Ahad, 7 Oktober 2018 | 11:05pm
KHAI Bahar (kiri) dan Wany Hasrita bersama trofi pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian ABPBH 31 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Khai ulangi kejayaan, Wany Hasrita buat kejutan

PUTRAJAYA: Mempertahankan trofi Penyanyi Lelaki Popular pada kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, Khai Bahar menyifatkan ia sebagai pencapaian manis dalam kerjaya seninya yang baru bermula.

Untuk kategori itu, Khai menewaskan empat calon lain iaitu Aiman Tino, Aizat Amdan, Hael Husaini dan Haqiem Rusly.

“Tahun lalu, saya berpengalaman naik pentas untuk memegang trofi itu buat kali pertama. Tidak sangka, tahun ini rezeki masih berpihak kepada saya.

“Terima kasih kepada peminat yang tidak pernah putus-putus menyokong saya,” katanya.


KHAI Bahar (kiri) menerima Anugerah kategori penyanyi lelaki popular pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian ABPBH 31 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto AZIAH AZMEE

Sementara itu, Wany Hasrita pula membuat kejutan apabila mengetepikan pemenang tahun lalu, Siti Nordiana dalam kategori Penyanyi Wanita Popular.

“Ini adalah kemenangan pertama saya di ABPBH dan saya terkejut apabila menewaskan calon lain yang hebat terutama Siti Nordiana,” katanya.

Sementara itu, Fendy Bakry dinobatkan sebagai Artis Baharu Lelaki Popular, manakala Farah Nabilah pula diumumkan sebagai Artis Baharu Wanita Popular.

Kata Fendy, pada awalnya dirinya tidak dapat hadir kerana terikat dengan penggambaran, namun bergegas ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk bersama-sama merasai kehangatan acara.

“Syukur saya berkesempatan ke sini dan tidak sangka, ia berbaloi apabila saya menang. Memang saya tak sangka. Terima kasih kepada drama, Mr Grey yang banyak melonjakkan nama saya,” katanya.

Fendy menewaskan Arif Bahran, Syafiq Farhain, Ismail Izzani dan Fikry Ibrahim untuk kategori itu.

Sementara itu, Farah Nabilah pula berkata, dia tidak menyangka akan meraih trofi Artis Baharu Wanita Popular kerana saingannya terutama Hannah Delisha mempunyai pengaruh yang tersendiri.

“Saya sangka Hannah yang menang, tetapi apabila diumumkan nama saya, memang saya terkejut.

“Terima kasih kepada peminat yang bertungkus lumus mengundi untuk memastikan kejayaan saya,” katanya.

Berita Harian X