Rabu, 3 Oktober 2018 | 2:15pm
DJ Dave dan Nash ketika melawat penyanyi, Dayangku Intan, di Pusat Perubatan Prince Court hari ini.
DJ Dave dan Nash ketika melawat penyanyi, Dayangku Intan, di Pusat Perubatan Prince Court hari ini.

'Pengorbanan Dayangku Intan beri inspirasi'

KUALA LUMPUR: Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave, percaya pengorbanan dilakukan penyanyi terkenal era 1980-an, Dayangku Intan, mampu memberikan inspirasi buat golongan wanita.

Katanya, artis terbabit bukan sekadar banyak memberikan sumbangan dalam bidang seni, malah wanita yang begitu menyayangi keluarganya.

"Intan isteri yang sangat baik dan sangat menyayangi suami serta keluarganya. Kita doakan semoga mereka berdua kekal bahagia dalam melayari rumah tangga selepas menjalani pembedahan yang penuh risiko ini," kata Dave selepas melawat penyanyi terbabit, di Pusat Perubatan Prince Court, di sini hari ini.

Pemilik nama sebenar Tengku Intan Tengku Abdul Hamid itu selamat menjalani pembedahan untuk mendermakan buah pinggang sebelah kanan kepada suaminya, Rosman Yahil, 29 September lalu.

Rosman disahkan mengalami kegagalan fungsi kedua-dua buah pinggang, sejak Jun lalu.

Pembedahan yang dilakukan di pusat perubatan berkenaan mengambil masa sekitar empat jam.

Dalam lawatan yang turut disertai oleh Pemegang Amanah YKAT, Datuk Nash, dan Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin itu, Dave juga menghulurkan sumbangan pihak yayasan kepada penyanyi terbabit.

Sementara itu, Nash kagum dengan semangat dan kasih sayang ditunjukkan oleh penyanyi Karang Di Lautan Sepi berkenaan demi insan disayanginya.

"Dia wanita yang hebat dan mengagumkan semua orang, termasuklah lelaki seperti saya," kata Nash yang juga penyanyi seangkatan dengan Intan.

Berita Harian X