Rabu, 26 September 2018 | 4:37pm
JENAZAH komposer, Pak Ngah atau Datuk Suhaimi Mohd Zain, tiba di Masjid Kampung Baru untuk disembahyangkan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang. - FotoL Saifullizan Tamadi
JENAZAH komposer, Pak Ngah atau Datuk Suhaimi Mohd Zain, tiba di Masjid Kampung Baru untuk disembahyangkan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang. - FotoL Saifullizan Tamadi
PENYANYI, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama balu komposer, Pak Ngah atau Datuk Suhaimi Mohd Zain, Datin Sharifah Mahani Syed Kasim, di Masjid Kampung Baru. - Foto: Saifullizan Tamadi
PENYANYI, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama balu komposer, Pak Ngah atau Datuk Suhaimi Mohd Zain, Datin Sharifah Mahani Syed Kasim, di Masjid Kampung Baru. - Foto: Saifullizan Tamadi

Hasrat sambut hari lahir di tanah air tak kesampaian

KUALA LUMPUR: Anak sulung komposer terkenal, Datuk Suhaimi Mohd Zain, Siti Syafrina, 32, ralat apabila hasrat bapanya yang mahu menyambut ulang tahun kelahiran ke-60 di negara sendiri, hari ini, tidak kesampaian.

Bagaimanapun, Siti Syafrina atau Rina bersama arwah bapa, ibu, adik dan sepupu mereka sempat bercuti ke Batam, Indonesia, sejak 21 September lalu.

“Pada awal percutian, abah tidak kelihatan seperti sedang sakit. Malah, dia sempat menyatakan keadaan jantungnya baik-baik sahaja. Dari Batam, kami menaiki feri ke Tanjung Pinang untuk mendaftar masuk ke sebuah hotel di sana. Keadaan abah waktu itu pun masih baik, pada sebelah siangnya.

“Selepas puas berjalan-jalan, abah meminta untuk berehat dulu di hotel sebelum keluar semula. Ketika makan tengah hari, muka abah bagaimanapun nampak lain dan dia mengatakan dirinya berasa kurang sihat.

“Pada sebelah malam, abah dimasukkan ke hospital di sana selepas mengadu sesak nafas. Selepas beberapa hari di hospital, akhirnya doktor sahkan abah tidak boleh diselamatkan lagi. Allah lebih sayangkan abah,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Kampung Baru, hari ini.

Suhaimi atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah meninggal dunia di Batam pada jam 3.05 petang semalam kerana komplikasi beberapa penyakit seperti jantung, paru-paru berair, kencing manis dan darah tinggi.

Menurut Rina lagi, inilah kali pertama arwah bapanya merancang untuk menyambut hari lahir.

“Selalunya, keluarga yang akan menguruskan majlis sambutan hari lahir abah,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Dalam pada itu, Rina berkata, walaupun sering berlembut, namun arwah bapanya seorang yang tegas.

“Dia juga sebenarnya seorang yang manja. Begitupun, kalau anak-anak mahukan sesuatu, kami memang kena berusaha mendapatkannya. Dalam soal kerja, dia memang seorang yang tegas.

“Kami anak-beranak jarang berpisah. Ke mana pergi sekalipun, kami selalu bersama. Abah mementingkan ukhuwah sesama keluarga,” kata Rina.

Jenazah Pak Ngah tiba di Masjid Jamek Kampung Baru kira kira jam 3.10 petang tadi untuk disembahyangkan. Seterusnya jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Ampang untuk disemadikan, selepas solat Asar.

Antara artis yang hadir memberikan penghormatan terakhir termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir, Noraniza Idris, Datuk Nassier Wahab, Syura, Norzizi Zulkifli, Elda Susanti, Harun Hashim, Wany Hasrita dan komposer, Azmeer.

Sepanjang hayatnya, Pak Ngah, yang juga pengkritik dalam program Liga Dangdut Asia di Indonesia, cukup dikenali dengan usahanya memperjuangkan irama tradisional.

Berita Harian X