Isnin, 24 September 2018 | 8:22pm
SARAH mempertaruhkan kelainan dalam single keduanya, Nyawa Dan Raga. Foto Nurul Syazana Rose Razman

'Ujian sebenar sedang menanti'

KUALA LUMPUR: Juara program realiti, Big Stage musim pertama, Sarah Suhairi enggan menjadikan populariti sebagai fokus utama, sebaliknya mahu terus mengasah bakat untuk dikenali sebagai penyanyi versatil.

Mula menyerlah menerusi lagu Pedih, Sarah, 18, berkata, pengalaman lapan minggu menyertai program nyanyian itu membuka matanya terhadap realiti perlu dilalui untuk mempertahankan nama.

“Memang pada permulaan, saya agak risau kerana nama saya kurang popular berbanding peserta lain. Namun, perlahan-lahan saya mula sedar, populariti bukan segala-galanya jika tanpa usaha yang jitu.

“Bermula dari situ, saya bangkit untuk membuktikan bakat sebenar. Alhamdulillah, usaha itu berhasil apabila saya diangkat sebagai juara,” katanya.

Sarah yang tidak pernah menghadiri kelas vokal juga memanfaatkan peluang yang ada untuk menimba ilmu dan mempelajari teknik nyanyian daripada penyanyi muda, Ernie Zakri.

“Hanya selepas menyertai Big Stage, baru saya berpeluang belajar teknik vokal dan aspek persembahan lain daripada tenaga pengajar. Saya jadikan pengalaman menyertai program ini sebagai bekalan di luar nanti.

“Saya sudah melepasi satu ujian besar, tetapi itu hanya permulaan. Ujian sebenar sedang menanti apakah saya akan terus bertahan atau sebaliknya. Semua itu terletak kepada rezeki dan usaha,” katanya.

Disebabkan itu, Sarah sentiasa mencabar diri dan mengambil risiko untuk memastikan perjuangan awalnya tidak sia-sia. Selepas muncul dengan lagu balada, Sarah memilih lagu rancak, Nyawa Dan Raga sebagai ruang untuk menyerlahkan identiti diri.

“Saya belum menemui kekuatan sebenar sebagai penyanyi, jadi saya perlu mencuba pelbagai genre muzik. Saya akui, lagu ini bukan mudah kerana ia langsung tidak sama dengan single pertama. Tetapi, saya cuba berikan yang terbaik supaya peminat dapat lihat keupayaan sebenar saya.

“Sejak awal pembabitan, saya tidak gemar fokus kepada genre tertentu. Saya berharap percubaan ini akan memberi kelebihan kepada untuk mengukuhkan nama dalam bidang seni,” katanya.

Berita Harian X