Jumaat, 21 September 2018 | 7:20pm
DATUK Seri Siti Nurhaliza kini muncul bersama single baharu berjudul Anta Permana ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong. - Foto: Eizairi Shamsudin
DATUK Seri Siti Nurhaliza kini muncul bersama single baharu berjudul Anta Permana ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong. - Foto: Eizairi Shamsudin
LAGU Anta Permana nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza mengetepikan single dendangan bintang Kanada, Avril Lavigne, di carta iTunes.
LAGU Anta Permana nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza mengetepikan single dendangan bintang Kanada, Avril Lavigne, di carta iTunes.

Siti tewaskan Avril Lavigne

KUALA LUMPUR: Single baharu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Anta Permana, yang dilancarkan di iTunes, tengah malam tadi, berjaya mengetepikan lagu Head Above Water nyanyian Avril Lavigne hanya dalam tempoh sejam untuk menguasai carta nombor satu jualan tertinggi di negara ini menerusi platform digital itu.

Siti berkata, lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong yang turut menjadi sohor kini itu diharap terus mampu melangkaui sempadan dengan diterima semua pendengar di serata pelosok tempat.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua peminat yang melanggan lagu ini sejak tengah malam tadi, sekali gus menjadikan tanda pagar Anta Permana ‘trending’ di laman sosial.

"Kebiasaannya, carta jualan lagu dalam keempat-empat medium, termasuk Spotify, KKBox dan Joox, sentiasa turun naik, malah karya baharu yang dilancarkan juga kerap mendapat langganan tinggi.

"Siapalah saya jika hendak dibandingkan dengan Avril, tetapi saya yakin muzik itu bersifat sejagat dan akan bergerak sendiri tanpa kekangan bahasa, penyanyi atau dari negara mana asalnya.

"Hanya satu harapan saya, Anta Permana yang indah alunan irama dan dilengkapkan lagi dengan bait puitis ini dapat melangkaui khalayak pendengar yang lebih meluas," katanya kepada BH Online.

Anta Permana diambil daripada perkataan Melayu klasik yang membawa maksud tidak terkira atau infiniti. Ia berkisar pada cinta sejati yang tiada bandingannya.

Single terbabit direalisasikan selepas Hael menyatakan hasrat untuk memberikan lagu ciptaannya kepada penyanyi nombor satu negara itu, awal tahun ini. Siti kemudian tertarik dengan demo yang dihantar oleh komposer terbabit kepadanya pada Mei lalu.

Siti merakamkan lagu itu di sebuah studio di Petaling Jaya, bulan lalu.

Sementara itu, Siti turut menjalani penggambaran video muzik lagu baharunya itu yang diarahkan oleh Rifaiee Omar daripada Rio Films Production.

Klip video rasmi lagu berkenaan dijangka dapat ditonton di laman YouTube bermula minggu hadapan.

Berita Harian X