Khamis, 20 September 2018 | 12:09pm
Datuk Seri Siti Nurhaliza. - Foto Ihsan Siti Nurhaliza Productions
Datuk Seri Siti Nurhaliza. - Foto Ihsan Siti Nurhaliza Productions

Siti Nurhaliza lancar Anta Permana esok

Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza, bakal melancarkan single terbarunya yang juga hasil ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong, Anta Permana, di semua pelantar digital, esok.

Menurut Siti, dia tertarik untuk merakamkan lagu itu kerana yakin dengan bakat dimiliki kedua-dua penggiat seni terbabit.

Dirakamkan pada Ogos lalu, Siti memaklumkan, dia terpikat sebaik sahaja mendengar lagu itu buat kali pertama.

“Tanpa berfikir panjang, Siti bersetuju merakamkan Anta Permana kerana yakin dengan kemampuan dua komposer muda itu.

“Hael sejak Februari lalu, ada menyatakan hasrat untuk memberikan lagu ciptaannya kepada Siti. Hanya pada Mei lalu, impiannya menjadi kenyataan apabila Siti tertarik dengan demo yang dihantar,” kata ibu kepada Siti Aafiyah itu.

SITI Nurhaliza ketika merakamkan lagu Anta Permana di Qactus Studio, Petaling Jaya, Ogos lalu. - Foto: Rohanis Shukri
SITI Nurhaliza ketika merakamkan lagu Anta Permana di Qactus Studio, Petaling Jaya, Ogos lalu. - Foto: Rohanis Shukri

Kata penyanyi yang sudah lebih dua dekad berada dalam dunia seni itu, Anta Permana diambil daripada perkataan Melayu klasik yang membawa maksud ‘tidak terkira’ atau infiniti.

“Lagu itu berkisar cinta sejati yang tiada bandingannya. Selain pemilihan judul dan maknanya yang bertepatan dengan lirik lagu, Siti juga berusaha memperkenalkan kembali perkataan Melayu klasik yang jarang digunakan.

“Siti menaruh harapan tinggi dengan kemunculan single terbaru ini dan berharap peminat muzik tempatan akan menyukainya. Siti anggap Anta Permana sebagai karya yang segar, mesra telinga dan mempunyai keunikan tersendiri menerusi gabungan muzik moden serta klasik,” katanya lagi.

Siti juga berhasrat untuk memperkenalkan video muzik lagu itu di YouTube berkemungkinan pada minggu hadapan.

Sementara itu, Hael terus mengukuhkan portfolio seninya apabila karya ciptaan penyanyi Jampi itu bersama Ezra terus menjadi pilihan artis berpengaruh dan sedang mencipta nama.

“Selepas cita-cita untuk berduet dengan Dayang Nurfaizah tercapai, awal tahun ini, satu lagi impian saya adalah untuk bekerjasama dengan Siti yang juga penyanyi nombor satu negara.

“Ia tentu saja menjadi pencapaian peribadi membanggakan yang akan dikenang selama-lamanya,” katanya.

Berita Harian X