Rabu, 29 Ogos 2018 | 5:32pm
DATUK Abdul Al Halim Mohd Alfadzil. - Foto Rohani Shukri

Alha Alfa perkenal pakej istimewa Merdeka

KUALA LUMPUR: Berbekal semangat patriotik yang menebal dalam diri, ahli perniagaan dan jurusolek profesional terkemuka, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil menanam suatu keazaman.

Beliau bertekad, suatu hari nanti, produk kosmetik yang diusahakan sejak dua tahun lalu, Alha Alfa yang juga penaja utama Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, mampu merentas benua dan mengembara ke serata dunia.

Baginya, tiada apa yang mustahil untuk dilakukan andai impian itu disertakan dengan usaha yang tidak pernah kenal erti jemu selain doa dan tawakal yang tiada berpenghujung.

Sebagai permulaan kepada hasratnya itu, Abdul Al Halim atau lebih mesra disapa Alha memberitahu BH Online, apa yang diimpikannya itu diterjemahkan dalam iklan atau komersial terbitan syarikatnya.


DATUK Abdul Al Halim Mohd Alfadzil. - Foto Rohani Shukri

Alha berkata, iklan berdurasi 30 saat itu sudah mula ditayangkan di TV3 dan platform media sosial miliknya.

“Selepas dua tahun jenama Alha Alfa dipasarkan, baru tahun ini kami keluarkan iklan komersial yang mengetengahkan konsep Sayangi Malaysiaku, sama seperti tema Hari Kebangsaan 2018.

“Dalam iklan itu, selain memaparkan tiga kaum utama Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India, saya turut memaparkan pelakon Mat Salleh,” katanya.

Ditanya rasional tindakannya menampilkan wajah antarabangsa dalam iklan berkenaan, beliau memberitahu:

“Bukan saja tiga kaum ini sahaja yang menggunakan produk kami tetapi turut menarik minat pengguna dari luar negara. Ini bermakna kita memberitahu khalayak bahawa bukan sesuatu yang mustahil untuk produk saya ini dipasarkan hingga ke peringkat antarabangsa.

“Malah, ketika penggambaran dijalankan, model asing suka produk saya. Mereka tidak sangka pengeluar kosmetik tempatan mampu menghasilkan produk yang tidak dijual di negara mereka,” kata pemegang ijazah sarjana muda seni bina ini.

Mengulas lanjut bagaimana tercetusnya idea untuk menghasilkan iklan itu, usahawan berusia 30 tahun ini berkata, beliau banyak mendapat sokongan daripada pelanggan sama ada dari segi moral dan material.


PAKEJ istimewa Glow Gemilang keluaran Alha Alfa sempena menyambut Hari Kebangsaan 2018. Alha Alfa adalah penaja utama ABPBH 31.

Sehubungan itu, beliau menganggap wajar ideanya dipersembahkan dalam bentuk visual sebagai pembakar semangat untuk bekerja lebih keras.

“Selama dua tahun di pasaran, saya lihat industri kosmetik tempatan semakin berkembang luas dan mendapat sambutan dalam kalangan pengguna pelbagai usia.

“Malah, dalam kalangan selebriti, anak-anak mereka didedahkan dengan penggunaan mekap. Situasi ini dapat kita lihat di media sosial,” katanya.

Alha berkata, kosmetik bukan sekadar alat mekap malah merangkumi penjagaan kulit.

“Soal penjagaan diri dan penampilan bukan saja tertumpu kepada wanita, malah kaum Adam tampak lebih berkeyakinan dalam apa juga yang dilakukan jika mengamalkannya.

“Justeru, ini adalah masa yang tepat untuk kami mempergiatkan usaha bagi mempromosikan kosmetik ini,” katanya.

Sempena kehadiran Bulan Kemerdekaan, Alha Alfa menyusun cara tersendiri untuk meraikan hari yang penuh bersejarah itu.

Tambah Alha yang pernah menata rias wajah ramai selebriti terkemuka, antara inisiatif itu adalah memperkenalkan pakej khas yang dikenali sebagai Glow Gemilang.

“Dalam kotak khas yang berwarna biru persis Jalur Gemilang, ia mengandungi empat produk iaitu bedak asas Royal Propolis, glow craetor, bedak tabur dan pembayang mata.

“Mereka yang berminat boleh mendapatkannya di kedai kami dan ejen dilantik,” katanya.

Berita Harian X