Isnin, 20 Ogos 2018 | 11:46am
AYDA terharu lagu balada yang dinyanyikan bersama Adi Piriyo mendapat pujian peminat. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Biar lambat asal dihargai - Ayda Jebat

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat tidak terkilan apabila kemunculan single balada, Pinjamkan Hatiku hanya disedari peminat selepas setahun dilancarkan.

Ayda sebaliknya terharu apabila ramai yang memuji lagu itu, malah mereka turut kagum kemampuannya menyanyikan sentuhan balada dengan baik.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu, Siapa Diriku itu berkata, dia tidak menyangka ramai memberikan reaksi positif apabila lagu itu dinyanyikannya ketika menjadi bintang undangan program, I Can See Your Voice Malaysia yang disiarkan ntv7, baru-baru ini.

“Saya pada mulanya tidak menyedari perkara itu, tetapi apabila dimaklumkan mengenainya, saya sangat terharu. Tidak sangka lagu duet bersama Adi Priyo itu masih mendapat sokongan selepas hampir setahun dilancarkan.

“Tidak dinafikan, ada di antara peminat yang baru menyedari kehadiran lagu itu. Bagi saya, biar lambat, asalkan ada yang menghargai," katanya.

Ayda berkata, pujian yang diberikan itu membakar semangatnya untuk terus berusaha memberikan yang terbaik selepas dikenali menerusi lagu rancak seperti Siapa Diriku, Nakal Nakal Nakal dan Pencuri Hati.

“Mungkin selama ini, peminat sudah terbiasa melihat saya menyanyikan lagu rancak. Jadi, mereka suka apabila saya cuba mencari pembaharuan dalam kerjaya nyanyian.

“Selain Pinjamkan Hatiku, saya juga merakamkan sebuah lagi lagu balada, Bagai Pelangi. Alhamdulillah, lagu itu juga mendapat pelbagai reaksi positif penonton selepas diperkenalkan lima bulan lalu,” katanya.

Terbaharu, drama lakonan Ayda, Hati Bukan Kristal sedang ditayangkan di slot Akasia TV3, membawa watak antagonis sebagai Aryana.

Mengakui semakin berdebar menunggu reaksi penonton, Ayda berharap, drama itu akan mendapat sokongan ramai kerana ia mempunyai jalan cerita yang menarik.

Hati Bukan Kristal menggandingkan Ayda dengan Sharnaaz Ahmad dan Nina Iskandar.

Berita Harian X