Isnin, 6 Ogos 2018 | 8:48pm
ANTARA rakan dan saudara mara yang mengaminkan doa selepas pengkebumian allahyarham bekas personaliti televisyen, Ishak Nengah di Tanah Perkuburan Islam MPSJ USJ 22, Subang Jaya . - Foto Mohd Yusni Ariffin
ANTARA rakan dan saudara mara yang mengaminkan doa selepas pengkebumian allahyarham bekas personaliti televisyen, Ishak Nengah di Tanah Perkuburan Islam MPSJ USJ 22, Subang Jaya . - Foto Mohd Yusni Ariffin

Ishak Nengah selamat disemadikan

SUBANG JAYA: Jenazah bapa kepada penyanyi dan komposer, Joe Flizzow, Allahyarham Ishak Nengah, 65, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, di sini, kira-kira jam 6 petang tadi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Darul Ehsan, di sini untuk diberi penghormatan terakhir oleh kaum keluarga, kenalan dan saudara-mara sebelum disembahyang selepas solat Asar.

Joe atau nama sebenarnya, Johan dan ibunya, Aisyah Ali bagaimanapun enggan ditemubual kerana bersedih atas pemergian Ishak yang juga bekas pembaca berita TV3 dan penyampai di RTM.

Sementara itu, adik ipar Allahyarham, Saleha Ali, 60, memberitahu, Ishak mengalami sesak nafas, tengah malam tadi dan dikejarkan ke hospital pada jam 3.30 pagi.

"Semasa dimasukkan ke hospital, arwah masih bersemangat hendak jalan dan bangun serta mampu bersolat.

"Namun, lama kelamaan, beliau semakin lemah dan nak bernafas pun tak boleh. Arwah dimasukkan ke hospital untuk menstabilkan pernafasan.

"Namun, doktor beritahu agak susah untuk pulih sehinggalah jam 12.35 tengah hari tadi arwah disahkan sudah pergi," katanya ketika ditemui pada majlis pengebumian itu.

Ishak yang menghidap barah hidung atau Nasopharyngeal carcinoma (NPC) sejak tujuh tahun lalu, menghembuskan nafas terakhir di samping isteri dan tiga anak iaitu Johan (Joe), 38, Ashraf, 36, dan Iman, 28.

Menyifatkan Allahyarham mudah mesra dan sangat mengambil berat terhadap anak-anak, Saleha berkata, arwah menjadi penyokong kuat kerjaya Joe sebagai pemuzik.

Sementara itu, bekas rakan seperjuangan di TV3, Ras Adiba Radzi menyifatkan arwah sebagai 'abang' yang banyak membantu dan membimbing generasinya sebagai penyampai berita.

"Suatu kehilangan yang cukup memberi kesan kepada saya. Ini kerana dalam tempoh sesingkat ini, saya kehilangan seorang sahabat, Datuk Mahadzir Lokman, Jumaat lalu dan sekarang abang pula.

"Arwah banyak membimbing saya dan rakan seangkatan menjadi penyampai berita. Beliau tidak lokek ilmu... Walaupun sudah tidak aktif, arwah masih diundang sebagai pengacara majlis disebabkan kredibiliti dan kecintaannya dalam bidang ini," katanya.

Turut menziarahi jenazah adalah Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima (RTMP), Datuk Manja Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat PROLINTAS yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (NSTP), Datuk Mohammad Azlan Abdullah serta bekas Ketua Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali.

Dilahirkan di Bota Kanan, Perak, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai wartawan di akhbar kumpulan NSTP dari 1972 hingga 1977 sebelum menjadi pengacara di TV3.

Berita Harian X