Khamis, 2 Ogos 2018 | 6:10pm
MAMAT Khalid masih bersemangat untuk mengarah filem. -Foto Mahzir Mat Isa
MAMAT Khalid masih bersemangat untuk mengarah filem. -Foto Mahzir Mat Isa

Sakit hilang di lokasi penggambaran - Mamat Khalid

PETALING JAYA: Menghidap sakit jantung dan pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, tahun lalu bukan alasan buat sutradara prolifik, Mamat Khalid berehat daripada dunia pengarahan.

Meskipun keadaan kesihatannya tidak begitu mengizinkan untuk dia terlalu aktif, Mamat atau nama lengkapnya, Mohamad Mohamad Khalid , 55, mengakui, sukar untuk melupakan bidang yang diceburi sejak 20 tahun lalu.

"Pergerakan saya sangat terbatas, malah dinasihatkan doktor supaya tidak boleh berjalan jauh. Saya perlu banyak berehat dan tidak membebankan diri. Jika ada mesyuarat, kebiasaannya pihak yang terbabit akan datang berjumpa.

"Cuma, saya belum bersedia untuk berehat terus kerana bidang pengarahan umpama terapi yang membuatkan saya lebih bersemangat," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem terbaru arahannya, Hantu Kak Limah, baru-baru ini.

Kata Mamat, dia masih menjalani rawatan untuk memastikan keadaan kesihatannya sentiasa terkawal.

"Doktor selalu berpesan supaya tidak berada dalam tekanan. Mujur sepanjang mengarahkan filem ini, pelakon dan produksi memahami situasi saya, malah mereka memberikan komitmen yang sangat bagus," katanya.

Mengulas buah tangan terbarunya yang bakal menjengah pawagam 9 Ogos ini, Mamat berkata, naskhah itu sangat berbeza daripada karya pernah disajikannya sebelum ini.

"Kebiasaannya apabila menghasilkan filem francais, saya sering menyelitkan pelbagai mesej dan unsur satira.

"Tetapi, kali ini saya hanya mahu melihat penonton bergelak ketawa tanpa perlu berfikir apa-apa. Sudah lama saya tidak merasai situasi itu di pawagam," kata Mamat.

Hantu Kak Limah adalah francais keempat kisah Kampung Pisang, bermula dengan Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit

Berita Harian X