Selasa, 31 Julai 2018 | 8:51pm
SYAFINAZ sedia sahut cabaran sebagai mentor. - Foto Eizairi Shamsudin

Syafinaz bimbang tiada calon datang uji bakat

KUALA LUMPUR: Pensyarah dan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat antara empat penyanyi yang dipilih mengalas tanggungjawab menggilap bakat baharu dalam program realiti, Mentor musim ketujuh.

Syafinaz berkata, dia bersedia menyahut cabaran itu sebagai memenuhi tanggungjawab untuk memberi semula kepada masyarakat, terutama membimbing mereka yang serius ingin menjadi penyanyi.

"Sudah tiba masanya saya membimbing bakat baharu yang mempunyai visi dan matlamat. Dulu, saya terpaksa tolak pelawaan ini sebab sibuk dengan tugasan, tetapi apabila difikirkan balik, kerja memang tidak akan pernah habis.

"Cuma, saya takut tiada calon yang berani datang ke uji bakat. Saya tidak garang, sebaliknya hanya mahukan protege yang fokus dan sedia mengikut tunjuk ajar," katanya pada sidang media memperkenalkan mentor, di sini, petang tadi.


SYAFINAZ bersama Siti Nordiana, Aizat dan Hafiz bakal menghangatkan Mentor 7. - Foto Eizairi Shamsudin

Sementara itu, penerbit Eksekutifnya, Muhamad Sufian Che Isa berkata, pemilihan Syafinaz bersama Aizat Amdan, Hafiz Suip dan Siti Nordiana berdasarkan kredibiliti serta pengalaman mereka dalam arena muzik.

"Setiap mentor mempunyai latar belakang yang cukup luas dalam industri muzik, meskipun berbeza era. Masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri dari segi genre muzik dan imej tersendiri, membuatkan kami yakin kelebihan itu akan mewarnai lagi Mentor 7.

"Sebenarnya, sudah lama kami mempelawa Syafinaz dan mentor lain untuk menyertai kami, namun hanya pada musim terbaru mereka menyatakan persetujuan," katanya mengenai program yang kali terakhir menemui penonton pada 2012.

Sesi uji bakat akan bermula di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah pada 8 dan 19 Ogos ini, disusuli Sri Pentas pada 8 dan 9 September depan membabitkan pencarian protege Syafinaz, diikuti Aizat (15 dan 16 September), Hafiz (22 dan 23 September) dan Siti Nordiana (29 dan 30 September).

Berita Harian X