Selasa, 31 Julai 2018 | 5:12pm
PELAKON, Erma Fatima. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Erma Fatima. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Cari madu bukan seperti 'beruk dapat bunga' - Erma Fatima

KUALA LUMPUR: Susulan pengakuan Datin Seri Umie Aida yang mengizinkan suami berkahwin lagi, kakaknya, Erma Fatima berkongsi pengalaman dirinya yang pernah hidup bermadu.

Menjelaskan bukan menyokong atau membantah pendirian adiknya, Erma memberitahu, hidup berpoligami memerlukan persefahaman yang baik antara suami dan isteri-isteri yang dinikahi.

"Dalam hal ini, bukan soal saya menyokong atau tidak, saya cakap berdasarkan pengalaman sendiri yang pernah hidup bermadu.

"Jika Umie dan suami serta bakal madunya, okay... Teruskan saja. Tapi perlu diingatkan, hal ini bukan membabitkan seorang saja.

"Carilah madu yang bukan seperti 'beruk dapat bunga'. Kena cari madu yang sedar dirinya mengambil hak orang.

"Jika salah seorang tak tahu bersyukur dan reda, tiada guna. Jadi, lebih baik lupakan hal nak bermadu," katanya pada sidang media Couture Fashion Week New York 2018 anjuran Peniagawati di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Ahad lalu, Umie mengejutkan peminat apabila mengaku mengizinkan suaminya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkahwin lagi dan mengamalkan poligami.

Umie memberitahu, dia enggan suami melakukan perkara yang tidak elok di luar pengetahuan selain mahu menghalalkan perhubungan suami dengan wanita lain, jika ia berlaku.

Erma berkata, individu yang mengambil hak orang lain perlu bertolak ansur.

"Dia (madu) bukan jenis yang 'kepung' seorang dan lupa menghormati madu pertama.

"Macam kita ambil barang milik orang sekalipun, samalah juga kena hargai sebaik mungkin," katanya.

Erma dan bekas suaminya, sutradara terkenal, Badaruddin Azmi atau Bade, bercerai pada 17 Ogos tahun lalu, selepas 27 tahun berkahwin.

Erma dan Bade, 54, yang berkahwin pada 30 November 1991, mempunyai lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 25, Ahmad Arir, 23, Ahmad Aifin, 21, Citra, 16, dan Nurain, 12.

Berita Harian X