Sabtu, 28 Julai 2018 | 4:50pm
TOMOK (kiri) dan Black (kanan) bakal menghangatkan pentas DFP pada 28 November depan. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
TOMOK (kiri) dan Black (kanan) bakal menghangatkan pentas DFP pada 28 November depan. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
BLACK teruja impian mengadakan persembahan di pentas berprestij DFP bakal terlaksana. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
BLACK teruja impian mengadakan persembahan di pentas berprestij DFP bakal terlaksana. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PENYANYI, Tomok. - Foto Aziah Azmee
PENYANYI, Tomok. - Foto Aziah Azmee

Black bakal berentap dengan Tomok di DFP

KUALA LUMPUR: Ibarat bulan jatuh ke riba, pelawaan untuk mengadakan konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) disambut baik oleh penyanyi, Black Hanifah.

Black berkata, peluang keemasan beraksi di pentas berprestij itu pada 28 November depan, bersama-sama Tomok, bakal melakar sejarah indah bagi kerjaya muziknya sepanjang 10 tahun berkecimpung dalam bidang seni.

"Persembahan di DFP nanti adalah konsert pertama dan terbesar saya selepas sedekad berada dalam industri seni. Saya dan Tomok, yang sudah pun 20 tahun menjadi penyanyi, sudah sekian lama menyimpan impian untuk mengadakan persembahan di pentas cukup gah itu.

"Justeru, tawaran dihulurkan oleh pihak berkenaan sememangnya sesuatu yang amat kami nantikan. Apatah lagi apabila kami dapat beraksi bersama pada konsert terbabit.

"Saat ini, saya memang sukar untuk menggambarkan perasaan sendiri. Rasa teruja dan berdebar bagai bercampur baur," katanya kepada BH Online.

Konsert diberi nama Tomok vs Black itu adalah antara persembahan yang bakal menghangatkan lagi sambutan ulang tahun ke-20 Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dan musim baharu pertunjukan yang akan bermula pada 17 Ogos depan.

Selain konsert kedua-dua penyanyi popular itu, antara agenda lain yang akan memeriahkan musim kali ini ialah persembahan Upin Ipin With The MPO, The Music Of Hans Zimmer, The Music Of Billy Joel, Russian Rhapsody, Ray Chen Performs Symphonie Espagnole, Viva Venezuela!, National Geographic: Symphony For Our World dan Semalam Di Malaya.

Sementara itu, ditanya mengenai konsep yang bakal ditampilkan pada persembahan mereka, Black berkata, belum ada kata putus berhubung perkara berkenaan.

"Konsep persembahan kami belum lagi diputuskan kerana ia masih dalam peringkat perbincangan. Apa pun, kami bakal mengadakan sidang media untuk menghebahkan mengenai berita baik ini.

"Begitupun, mengikut perancangan, masing-masing dijangka mempersembahkan lapan lagu dan sebuah lagu duet," katanya.

Black yang baru-baru ini tampil dengan lagu Selamat Tinggal Masa, bekerjasama dengan Syamsul Yusof, menjelaskan sesi latihan hanya boleh diadakan sebaik saja konsep, pemilihan dan susunan lagu selesai dilakukan.

Tiket menyaksikan konsert Black dan Tomok dijual pada harga RM80 dan RM100. Maklumat lanjut berhubung pembelian tiket boleh didapati dengan melayari mpo.com.my.

Berita Harian X