Rabu, 11 Julai 2018 | 4:16pm
Penyanyi, Erra Fazira hadir pada program amal. - Foto Aziah Azmee
Penyanyi, Erra Fazira hadir pada program amal. - Foto Aziah Azmee

Shahir jadi gimik kempen sakit mental?

KUALA LUMPUR: Aktres jelita, Erra Fazira menafikan keputusan mengundang penyanyi, Shahir Zawawi yang dikatakan menjalin hubungan rapat dengannya hadir pada program amal di Pusat Kesihatan Mental (Mentari), Hospital Selayang (HS), baru-baru ini, sebagai gimik meraih perhatian peminat.

Erra menjelaskan, beliau tidak berniat meraih publisiti atau mencetus sensasi dengan mengundang Shahir menghiburkan pesakit mental pada acara itu.

"Pada hari itu, kebetulan Shahir ada kelapangan dan bersetuju untuk turut serta. Lagipun, saya ajak kawan-kawan lain yang berminat menjayakan acara itu... Shahir adalah antara kawan-kawan saya.

"Malah, Shahir kenal Anita Abu Bakar (Presiden Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental atau MIASA) yang menganjurkan majlis itu," katanya kepada BH Online di sini, hari ini.

Erra ditemui BH Online pada program kesedaran pesakit mental, Stand In Solidarity For Mental Illness anjuran MIASA, di sini.

Shahir Zawawi.
Shahir Zawawi.

Pada majlis itu, Erra diumumkan menjalin kerjasama dengan MIASA untuk meningkatkan kesedaran ramai terhadap sakit mental termasuk kemurungan.

Sebelum ini, klip video dimuat naik MIASA, memaparkan Shahir dan Erra hadir pada majlis anjuran pertubuhan itu. Sejak lebih dua tahun lalu, Shahir dan Erra digosip menjalin hubungan intim dan dikatakan bakal berkahwin.

Erra berkata, beliau melihat Shahir mengetepikan soal lain termasuk gosip antara mereka dan menjayakan program terbabit tanpa masalah.

"Dia beri sokongan kepada acara itu sudah cukup baik... Soal sama ada dia tak bersedia untuk tampil sebagai artis, itu perkara lain yang wajar diajukan kepada dirinya.

"Apa yang dilakukan Shahir adalah perkara baik... Saya tak melihat ia suatu masalah.

"Malah, sebagai artis dan insan, selagi dapat membantu kepada suatu perkara yang baik, saya akan cuba lakukan," katanya.

Erra mengaku tidak terfikir langsung kehadiran dirinya dan Shahir pada majlis itu mampu meraih publisiti.

"Saya tak fikirkan langsung soal itu... Namun, jika ia dapat mempromosikan usaha MIASA, itu sudah dikira bagus apatah lagi dalam menghebahkan kesedaran sakit mental.

"Saya tak fikir langsung hendak selitkan kisah kami dalam acara itu," katanya.

Sementara itu, Erra mendedahkan ada artis mahu menyokong usaha MIASA, namun gentar tampil ke depan.

"Saya tahu ada dalam kalangan artis yang masih takut dengan stigma masyarakat biarpun diam-diam berdepan dengan isu sakit mental.

"Mereka bimbang akan dijatuhkan hukuman cepat dan dianggap 'gila' jika mengaku," katanya.

Erra memberi contoh simbolik membabitkan kes artis wanita bimbang periuk nasi terjejas jika membuat keputusan berhijab.

"Dulu kita lihat artis tak mahu pakai tudung kerana bimbang hilang tawaran kerja.

"Hinggalah seorang demi seorang artis berhijab... Ia bukan lagi masalah yang membimbangkan dalam soal rezeki. Begitu juga dengan masalah mental, selama ini ada yang takut dan skeptikal jika mengaku berdepan masalah itu," katanya.

Tambah Erra, dia yakin senario itu akan berubah jika masyarakat mempunyai kesedaran tinggi terhadap masalah sakit mental.

"Saya harap usaha yang diambil MIASA akan membuka ruang untuk masyarakat lebih peka dengan masalah sakit mental," katanya.

Berita Harian X