Jumaat, 29 Jun 2018 | 12:30pm
PERKONGSIAN terakhir Allahyarham Pak Pandir melalui entri Facebook, menceritakan keadaan kesihatannya, beberapa hari lalu.
PERKONGSIAN terakhir Allahyarham Pak Pandir melalui entri Facebook, menceritakan keadaan kesihatannya, beberapa hari lalu.
ISTERI Pak Pandir, Rosmi Salmiah mengumumkan pemergian suami tersayang, pada FB penyanyi itu, pagi tadi. - Foto FB Pak Pandir
ISTERI Pak Pandir, Rosmi Salmiah mengumumkan pemergian suami tersayang, pada FB penyanyi itu, pagi tadi. - Foto FB Pak Pandir

'Doakan yang terbaik buat saya'

KUALA LUMPUR: Entri dikongsi pada laman Facebook (FB) memohon doa semua insan yang mengenalinya beberapa hari lalu, menjadi mesej terakhir penyanyi era 1990-an, Pak Pandir yang meninggal dunia di Hospital Kajang (HK), kira-kira jam 4.30 pagi tadi.

Pak Pandir atau nama sebenarnya, Azmi Ali, 62, menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami masalah tekanan darah rendah, buah pinggang dan paru-paru berair.

Isteri Pak Pandir, Rosmi Salmiah memaklumkan pemergian suami tercinta melalui entri FB, pagi tadi.

Sebelum ini, Allahyarham melalui entri FB, memaklumkan beliau dimasukkan ke wad kecemasan HK, Selasa lalu.

Pada catatan di laman sosial itu, Pak Pandir yang popular dengan lagu Yang Remeh Temeh meluahkan:

"Kepada semua peminat, kawan-kawan, keluarga dan sesiapa yang mengenali saya dan tertanya-tanya, benarkah saya dimasukkan ke wad sekali lagi? Ya, betul... (saya alami) masalah tekanan darah rendah, buah pinggang dan kandungan air di paru-paru.

"Keadaan saya tidak stabil. Saya sekarang berada di Hospital Kajang, katil nombor 24, wad 2, tingkat satu... Doakan yang terbaik untuk saya."

Allahyarham meninggalkan Rosmi, tujuh anak dan tiga cucu.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Surau Annur Kantan Permai, Kajang pada jam 9.30 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan.

Sebelum ini, Pak Pandir pernah dilaporkan dimasukkan ke hospital kerana mengalami pelbagai komplikasi.

Berikutan masalah kesihatan, Allahyarham tidak sempat mempromosikan album terbaru mengandungi enam lagu puisi, yang dikatakan sudah siap.

Selama hayatnya, Pak Pandir yang menetap di Kajang, aktif berkarya termasuk menjadi pemuzik jalanan di sekitar Putrajaya.

Berita Harian X