Rabu, 27 Jun 2018 | 4:27pm
AZREL Ismail.
AZREL Ismail.

Ada orang pernah nak 'bela' saya - Azrel

KUALA LUMPUR: Pelakon Azrel Ismail mendedahkan dia pernah mahu 'dibela' ketika bekerja dalam bidang perhotelan sebelum mencipta nama dalam dunia seni.

Mengambil iktibar daripada pengalaman lampau, Azrel memberitahu, dia bukanlah pelakon yang suka mengambil kesempatan atau menggunakan pengaruh individu lain untuk berjaya.

Sehubungan itu, akui Azrel, watak dilakonkan dalam Bikin Filem yang menyaksikan karakternya 'dibela' penerbit, sekadar jalan cerita yang dihidupkan dalam naskhah itu.

"Saya hanya dibela penerbit dalam filem itu saja... Saya percaya dan pernah dengar senario sama berlaku dalam industri seni kita.

"Tapi, ia tidak berlaku kepada saya. Setakat ini, memang tak kena lagi... Pelakon lain, saya tak tahulah," katanya kepada BH Online.

Azrel yang mencipta populariti dalam drama Syurga Nur tidak segan berkongsi kejadian di mana dia pernah ditawarkan untuk 'dibela' ketika bekerja di sebuah hotel, beberapa tahun lalu.

"Memang pernah ada orang tawar hendak 'bela' saya... Namun, cubaan begitu berlalu begitu saja. Saya tak melayan pun.

"Jadi, saya percaya cubaan begini mudah berlaku. Tapi saya bersyukur kerana bebas dengan gejala yang tidak menyenangkan itu," katanya.

Selain menunggu tayangan filem lakonannya, Pulang bersama Remy Ishak dan Puteri Aishah, Azrel teruja berkongsi pembabitannya dalam Bikin Filem arahan M Latiff Zami.

"Filem Bikin Filem bersifat komedi romantik. Penggambaran bermula sejak awal Ramadan dan mengambil masa sebulan. Kami diberi cuti pada hari raya dan disambung selepas itu.

"Bagi yang hendak meredakan tekanan, saya percaya filem ini boleh jadi pilihan. Kita tak perlu nak fikir kerana filem ini santai tapi penuh ironi kerana berkisar realiti pekerja seni," katanya yang memegang watak Ijam Min.

Azrel berkata, pada mulanya, agak sukar dia membiasakan diri di set penggambaran.

"Ini kerana, pada suatu tahap, kita tak tahu siapa kru dan pelakon... Memang keliru. Ini kerana ada antara pelakon memegang watak orang di belakang tabir," katanya.

Bikin Filem terbitan Resilience Studios turut dibintangi Azhan Rani, Sherry Al Hadad, Scha Alyahya, Erra Fazira, Azrel Ismail, Mark Adam, Sharifah Sakinah, Mia Nasir dan Azhar Sulaiman.

Berita Harian X