Selasa, 26 Jun 2018 | 9:25am
DISKRIMINASI dilalui buat Amerul Affendi tawar hati teruskan kerjaya lakonan. Foto Aswadi Alias

'Sampai satu tahap, saya malas fikir lagi'

KUALA LUMPUR: Kecewa sering dipinggirkan kerana tidak memiliki paras wajah komersial membuatkan Amerul Affendi semakin tawar hati, malah pada satu tahap, dia sudah tidak mahu memikirkan perkara itu lagi.

Pelakon yang pernah membintangi filem Pekak, Terbaik Dari Langit dan Polis Evo itu, disebabkan terbiasa melalui situasi itu, dia sudah tidak terasa lagi apabila namanya sering digugurkan daripada senarai produksi.

"Biarpun sudah beberapa tahun bertapak, secara jujur, saya masih lagi bergelut untuk mencari tapak. Perkara ini tidak akan berakhir selagi tiada pihak yang ambil peduli untuk memperjuangkan nasib serta kebajikan anak seni," katanya.

Ditemui pada majlis pelancaran Bikin Filem, baru-baru ini, Amerul berkata, dia pernah nekad mengundurkan diri apabila berterusan berdepan senario yang sama.

"Disebabkan terlalu kecewa, saya sudah malas fikir lagi. Saya hanya fikir bekerja, tetapi minat yang jitu sudah tiada. Saya bertahan kerana masih mendapat sokongan, terutama daripada rakan seni.

"Awal dahulu, memang saya mahu berhenti dan pernah terfikir untuk meneruskan pengajian di sekolah seni," katanya.

Amerul bersyukur apabila usahanya dalam bidang pertanian dan penternakan sejak beberapa tahun lalu di Temerloh, Pahang banyak membantunya menampung kehidupan.

"Menerusi perniagaan sampingan ini, dapat juga menampung makan dan minum jika tidak menerima tawaran berlakon," katanya.

Mengenai pembabitannya dalam Bikin Filem terbitan Resilience Studios arahan M Latiff Zami, Amerul memegang watak sebagai penolong pengarah kepada Rahim G lakonan Azhan Rani.

"Filem ini menggambarkan warna dan realiti yang dilalui pekerja produksi. Ia agak mencabar kerana filem ini seperti membuka pekung penggiat industri sendiri. Dalam komedi, turut diselitkan sindiran terhadap realiti kehidupan anak seni," katanya.

Filem ini turut dibintangi Sherry Alhadad, Scha Alyahya, Erra Fazira, Azrel Ismail, Mark Adam, Sharifah Sakinah, Azhar Sulaiman, Zain Hamid, Jasmin Hamid dan Kodi Rasheed.

Berita Harian X