Khamis, 31 Mei 2018 | 2:51pm
SCHA (dua dari kanan) dan suami, Awal (kiri) serta selebriti Asia merakam kenangan bersama bintang Thor, Chris Hemsworth di Singapura. - Foto Instagram Scha Alyahya

Scha teruja jumpa 'Thor' di Singapura

KUALA LUMPUR : Kenangan indah bertentang mata dengan bintang Hollywood, Chris Hemsworth, yang popular dengan watak Thor, menjadi detik tidak dapat dilupakan oleh pelakon, Scha Alyahya.

Katanya, biarpun tidak dapat berborak panjang bersama aktor tampan berasal dari Australia itu, namun tempoh singkat duduk bertentangan dengan Hemsworth pada acara fesyen Hugo Boss, baru-baru ini, dimanfaatkan sepenuhnya oleh Scha.

"Tidak sangka saya dapat melihat sendiri Chris di depan mata. Selalunya, saya melihat foto atau videonya di media sosial semata-mata, selain menonton filem lakonannya.

"Biarpun tidak dapat berborak panjang kerana masa begitu terhad, namun sikap tertibnya dapat dilihat dengan bertegur santai saja.

"Lebih menarik, saya dan Awal dapat duduk berhadapan dengan Chris selaku duta pewangi Hugo Boss dan seorang lagi bintang Avengers, Sebastian Stan, pada majlis itu.

"Selain ditempatkan di baris hadapan majlis fesyen terbesar yang pernah saya hadiri, kesempatan itu juga digunakan untuk 'stalk' Chris dengan lebih dekat lagi," kongsi Scha yang menyambut ulang tahun ke-35, semalam.

Scha dan suaminya, Awal Ashaari, berpeluang menghadiri acara fesyen jenama terkemuka itu sempena prapelancaran butiknya di Marina Bay Sands, Singapura. Pada masa sama, mereka turut memperkenalkan dutanya, iaitu perenang yang juga pemenang pingat emas Olimpik 2016, Joseph Schooling.

Selain Awal dan Scha, acara itu turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti dari beberapa negara Asia lain.

Sementara itu, gaya rambut pendek Scha ketika menghadiri acara itu turut mendapat perhatian netizen.

"Terima kasih kepada mereka yang menyukai gaya rambut terkini saya kerana ia dipotong khas demi filem lakonan terbaru berjudul Bikin Filem, arahan Yeop Hitler.

"Sudah lama saya menggayakan potongan rambut panjang, jadi saya memilih untuk berambut pendek pula bagi memberikan kelainan. Selain saya, Bikin Filem turut menampilkan Sharifah Sakinah, Amirul Afendi, Sherry Alhadad, Erra Fazira dan ramai lagi," katanya.

Berita Harian X