X
Ahad, 13 Mei 2018 | 2:38pm
IZZUE tegas pertahan prinsip atas kemahuan diri, bukan kerana desakan isteri. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
IZZUE tegas pertahan prinsip atas kemahuan diri, bukan kerana desakan isteri. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

'Awin tak bersalah'

KUALA LUMPUR: Pelakon Izzue Islam berkata, keputusannya untuk tidak melakonkan babak bersentuhan, selain enggan menyebut perkataan sayang bukan kerana 'takut bini', sebaliknya pendirian itu dibuat atas kehendak sendiri.

Mengakui prinsip itu membuatkan isterinya, Awin Nurin, 35, diserang pelbagai persepsi kurang enak termasuk dikatakan kuat cemburu, suka mengongkong, malah bertindak sebagai 'pengarah kedua' di lokasi penggambaran, Izzue, 28, bagaimanapun, tidak tertekan dengan andaian itu.

Anggota kumpulan Forteen itu berkata, ia bukan cerita baharu apabila isterinya dihentam bertubi-tubi di laman sosial gara-gara prinsip yang dipegangnya itu.

"Mereka yang mengenali dan pernah bekerjasama tahu cara saya serta Awin bekerja. Saya tidak mampu menutup mulut orang, tetapi saya mohon, jangan salahkan Awin. Sebelum membuat andaian, tanya saya dahulu.

"Jika tidak puas hati atau keliru, boleh menghantar mesej peribadi untuk saya jelaskan. Jangan sampai menabur fitnah, dapat dosa percuma sahaja nanti," katanya.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan, itu berkata prinsip itu dipertahankan bukan mengikut telunjuk isterinya, sebaliknya atas kesedaran diri.

"Setiap orang memiliki pandangan berbeza, begitu juga saya. Selepas berkahwin, saya perlu menjaga hati isteri dan keluarga kedua-dua pihak. Saya bimbang tindak-tanduk saya menjadi bahan fitnah, sedangkan banyak hati yang perlu dijaga.

"Keluarga saya dan mentua bukan dalam kalangan orang seni, mereka mungkin tidak faham. Saya tidak mahu isu atau persepsi yang ditimbulkan menyinggung perasaan mereka," katanya.

Mengenai keengganannya menyebut perkataan sayang seperti dituntut dalam skrip, Izzue berkata, perkara itu hanya salah faham.

"Saya tidak kisah menyebut perkataan sayang, tetapi bergantung kepada kesesuaian babak. Tidak logik jika kali pertama bertemu, terus memanggil sayang.

"Saya bukan ikut kepala sendiri, sebaliknya semua itu dibuat atas perbincangan dengan pengarah. Saya tidak akan melanggar skrip tanpa persetujuan.

"Sebagai pelakon saya perlu mengambil tahu perjalanan setiap babak dan dialog, bukan main hentam sahaja," katanya yang kini sibuk dengan penggambaran telefilem, Selirat, arahan Feroz Kader untuk siaran TV3.

Berita Harian X