Jumaat, 27 April 2018 | 12:08pm
PENYANYI, Intan Sarafina, berpindah ke Jakarta, Indonesia, kerana mengikuti suami yang bertugas di sana. - Foto Mahzir Mat Isa
PENYANYI, Intan Sarafina, berpindah ke Jakarta, Indonesia, kerana mengikuti suami yang bertugas di sana. - Foto Mahzir Mat Isa

'Kami serasi dengan Jakarta'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Intan Sarafina mengakui, tidak dapat membendung rindu terhadap keluarga sejak berpindah ke Jakarta, Indonesia, bulan lalu kerana mengikut suaminya, Iskandar Ezzahuddin Ahmad Zulkifli, bertugas di sana.

Intan atau nama penuhnya, Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya, 37, berkata mereka sekeluarga dijangka menetap di negara itu selama setahun.

"Suami saya ditugaskan ke sana untuk melunaskan kerja di bahagian pemasaran selama setahun. Walaupun Jakarta dikenali sebagai kota yang sinonim dengan masalah trafik, kami selesa sepanjang sebulan di sana.

"Kediaman kami juga tidak terlalu jauh dari tempat kerja suami. Alhamdulillah, anak juga serasi dengan suasana baharu di sini. Cuma biasalah, perasaan rindukan keluarga itu pasti ada," katanya kepada BH Online.

Intan yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp berkata, walaupun menetap di Jakarta, dia masih aktif menerima undangan persembahan.

Penyanyi lagu Kembali itu juga tidak kisah berulang-alik kerana minatnya terhadap nyanyian masih menebal. Sekalipun tidak terikat dengan persembahan, Intan dan keluarga akan pulang ke tanah air setiap dua bulan sekali.

Intan berkata, dia turut merancang untuk tampil dengan lagu baharu selepas Aidilfitri nanti.

"Alhamdulillah, walaupun menetap di Jakarta, saya masih menerima tawaran nyanyian. Mujur masa penerbangan tidak lama, sedikit sebanyak memudahkan saya meneruskan aktiviti seni.

"Insya-Allah, segala perancangan yang sudah disusun sebelum ini akan tetap dilunaskan. Ketika ini, saya dan pengurusan, LOL Entertainment sedang merancang pembikinan lagu baharu," katanya.

Ditanya mengenai aktiviti hariannya di sana, Intan berkata, dia sibuk menguruskan tiga anaknya yang kini belajar di sekolah antarabangsa.

"Selain menguasai bahasa Inggeris, mereka juga perlu belajar bahasa Indonesia dan Mandarin. Masa lapang saya banyak dihabiskan dengan mereka.

"Mereka perlukan sedikit masa untuk serasi, terutama dari segi bahasa. Saya anggap perpindahan ini seperti percutian yang panjang," selorohnya.

Berita Harian X