Ahad, 22 April 2018 | 4:02pm
GAMBAR fail, penyanyi, Salma Asis (kanan) ketika menyampaikan lagu "Akhirnya Cinta" pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke 32 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam pada 12 November tahun lalu. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
GAMBAR fail, penyanyi, Salma Asis (kanan) ketika menyampaikan lagu "Akhirnya Cinta" pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke 32 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam pada 12 November tahun lalu. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

'Suami saya bukan macam tu'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Salma Asis, 27, menyelar tindakan netizen yang melabel suaminya, Muhammad Azri Abdullah sebagai pendera selepas mengaku salah mendera anak perempuan tirinya hingga dihukum penjara.

Salma mahu netizen menghentikan komen negatif yang dilemparkan terhadap Azri atas alasan mereka tidak tahu apa yang berlaku.

"Orang luar tak tahu apa yang berlaku. Saya minta netizen hentikan komen yang menuduh suami saya mendera. Dia bukan macam itu dan kami sekeluarga tahu dia sangat sayangkan anak-anak.

"Sebagai bapa, dia jalankan tanggungjawab yang baik dalam menguruskan keperluan anak-anak. Dia tidak pernah membezakan anak-anak dan sangat sayangkan mereka," katanya kepada BH Online.

Jumaat lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM5,000 terhadap Azri selepas mengaku bersalah mendera anak perempuan tirinya dengan mencelup kedua-dua tangan mangsa ke dalam air panas, dua tahun lalu.

Menyifatkan dakwaan yang dilemparkan netizen keterlaluan, Salma meminta individu yang tidak tahu cerita sebenar berdiam diri daripada membuat tuduhan melulu.

"Saya tahu siapa dia sebab dia suami saya. Jika tidak tahu cerita sebenar, lebih baik berdiam diri. Komen begini akan mengeruhkan lagi keadaan dan memberi tekanan kepada kami sekeluarga.

"Saya minta pihak luar supaya tidak melemparkan tuduhan terhadap suami saya. Dia menukar pertuduhan kepada bersalah atas nasihat peguam setelah menimbang beberapa faktor.

"Doakan yang baik-baik untuk kami, mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini," katanya.

Pada prosiding di mahkamah, Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman selepas Azri menukar pengakuan bersalah dan memerintahkan Azri menjalani hukuman penjara bermula Jumaat lalu serta penjara enam bulan lagi, jika gagal membayar denda.

Azri didakwa melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak yang kini berumur 11 tahun itu dengan mencelup kedua-dua tangan mangsa ke dalam air panas di pangsapuri di Seksyen 9, Subang Jaya, jam 8 pagi pada 5 Mei 2016.

Pasangan penyanyi itu mendirikan rumah tangga pada 31 Januari 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. Salma sebelum ini, turut dikurniakan seorang cahaya mata perempuan hasil perkahwinan pertamanya.

Berita Harian X