Selasa, 10 April 2018 | 9:35am
MAMAT Exist bakal menemui peminat tanah air sempena sambutan Hari Ibu pada Majlis Minum Petang yang akan diadakan di Hotel Tropical Inn. - Foto Ernalisa Othman

Reunion Exist tahun ini

JOHOR BAHRU: Dalam diam-diam, bekas vokalis Exist, Mamat mengambil inisiatif mengadakan konsert reunion kumpulan popular era 1990-an itu di Kuala Lumpur, tahun ini.

Teruja bercerita mengenai projeknya itu, Mamat memberitahu, konsert istimewa itu akan menghimpunkan semua bekas penyanyi dan anggota kumpulan itu termasuk dirinya, Ezad Lazim, Ajai dan Sham Slam.

"Rancangan mengadakan konsert reunion itu sudah lama dibincangkan dan mendapat persetujuan semua bekas ahli.

"Saya yakin peminat menanti detik kami dihimpunkan semula selepas sekian lama menyepi," katanya kepada BH Online.

Mamat berkata, konsert reunion itu dijangka diadakan di ibu negara, selepas sambutan Aidiladha, Ogos depan.

Bagaimanapun, Mamat mengaku bukan mudah menganjurkan persembahan reunion terutama dalam mencari dana.

"Saya akui banyak kekangan seperti kos dan sebagainya. Namun, Insya-Allah, saya akan berusaha mencari penaja untuk memastikan impian itu tercapai," katanya.

Masih aktif menyanyi, Mamat yang ketika bersama Exist popular dengan lagu Untukmu Ibu memberitahu, dia bakal melancarkan single berjudul Norcahaya, tidak lama lagi.

"Ketika ini, single terbabit masih dalam proses rakaman. Saya anggap ini kemunculan semula saya dalam dunia seni suara selepas lama menyepi.

"Kalau kita lihat, ratu rock, Ella dan ramai artis yang dianggap 'otai' kembali merancakkan industri muzik," katanya yang berpuas hati dengan proses rakaman single berkenaan.

Dalam perkembangan lain, sempena meraikan Hari Ibu, Mamat akan membuat persembahan pada majlis minum petang yang dianjurkan Tropikal Inn Hotel di sini, pada 12 Mei depan.

Sebanyak 16 meja dengan kadar bayaran RM55 hingga RM85 seorang dikenakan bagi peminat yang mahu meraikan Hari Ibu bersama bonda tersayang atau keluarga.

Tambah Mamat, dia akan menyanyikan lagu 'Untukmu Ibu' dengan bantuan pemuzik jalanan bagi menampakkan kelainan pada majlis itu.

Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut atau membuat tempahan boleh menghubungi pengurusan Tropikal Inn Hotel, di sini.

Berita Harian X