Selasa, 3 April 2018 | 3:28pm
ARIZ Lufias kini muncul bersama single solo berjudul Pergi. - Foto Aziah Azmee
ARIZ Lufias kini muncul bersama single solo berjudul Pergi. - Foto Aziah Azmee
ARIZ (kiri) bersama anggota Forteen yang lain, Izzue Islam, Ameer dan One. - Foto Mahzir Mat Isa
ARIZ (kiri) bersama anggota Forteen yang lain, Izzue Islam, Ameer dan One. - Foto Mahzir Mat Isa

Kisah kekasih ugut berpisah jadi lagu

KUALA LUMPUR: Anggota Forteen, Ariz Lufias, berbangga untuk berkongsi karya ciptaan beliau berjudul Pergi sebagai single solo sulung.

Apatah lagi, kata penyanyi terbabit, lagu berkenaan bersifat peribadi dan mempunyai kaitan dengan kehidupannya sendiri.

Ariz, 28, berkata Pergi juga sebenarnya sudah lama berada dalam simpanan beliau sebelum dikeluarkan secara rasmi, baru-baru ini.

"Single ini cukup istimewa kerana lirik dan melodinya dihasilkan oleh saya sendiri. Ia berkisar mengenai individu yang sering menerima ugutan untuk berpisah daripada kekasihnya, lantas tekad memilih membawa haluan sendiri.

"Saya turut menyelitkan maksud tersirat menerusi video muzik lagu ini dan teruja kerana ramai peminat dapat menerima mesej yang cuba disampaikan. Inilah lagu pertama ciptaan saya yang dibawa ke tengah dan dinyanyikan secara komersial. Saya berharap ia boleh diterima peminat muzik.

"Ia sepatutnya dilancarkan pada 2017, begitupun kekangan waktu dan kesibukan saya dengan beberapa aktiviti lain, seperti lakonan serta perniagaan, membuatkan perancangan itu tertangguh," katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Ariz menepis dakwaan mengatakan Forteen bakal dibubarkan memandangkan masing-masing aktif merencana kerjaya solo.

Biarpun anggotanya sudah tampil dengan lagu sendiri, mereka masih menerima undangan menjayakan persembahan secara berkumpulan.

"Ramai yang membuat andaian kami bakal berpisah, sedangkan hakikatnya berbeza. Cuma, saya rasa tiba masanya untuk saya menghasilkan projek solo selepas melihat kejayaan Izzue, Ameer dan One.

"Kami saling menyokong dan menghormati kerjaya solo masing-masing, selagi ia tidak mengganggu perancangan seni Forteen. Jadi, persoalan untuk membubarkan Forteen sama sekali tidak timbul," kata Ariz.

Dalam perkembangan lain, Ariz, yang bakal menunaikan umrah bersama keluarga pada 15 April ini, berhasrat untuk melancarkan produk makanan tambahan kesihatan yang sudah lama diamalkan olehnya.

Berita Harian X