Isnin, 26 March 2018 | 11:18am
ACHEY (kiri) menjadikan ketabahan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang menunggu 11 tahun untuk beroleh zuriat, sebagai inspirasi. - Foto NSTP
ACHEY (kiri) menjadikan ketabahan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang menunggu 11 tahun untuk beroleh zuriat, sebagai inspirasi. - Foto NSTP

Tok Ti inspirasi Achey

KUALA LUMPUR: Pelawak Achey menjadikan ketabahan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang menunggu 11 tahun untuk beroleh zuriat, sebagai inspirasi.

Achey memberitahu, jika Siti menunggu lebih sedekad untuk menimang cahaya mata, usia perkahwinan dengan isteri, Nor Hasanah Yahaya, 28, yang bakal mencecah lapan tahun, bukanlah isu besar.

"Saya tumpang gembira melihat Siti, apatah lagi selepas banyak cabaran yang dilalui untuk menimang cahaya mata. Sedangkan 11 tahun Siti boleh bersabar, mengapa tidak saya yang baru hendak masuk lapan tahun berkahwin.

"Bukan saya seorang ditimpa nasib begini. Ramai lagi rakan artis lain yang sedang berusaha mendapatkan zuriat seperti Izzue Islam dan Mark Adam. Bagaimanapun, kami semua percaya kepada rezeki dan hadapi semua ini dengan gembira.

"Allah tak bagi saya anak sekarang, tapi Allah turunkan rezeki lain," katanya kepada BH Online.

Achey dan Nor Hasanah mendirikan rumah tangga tujuh tahun lalu namun belum dikurniakan cahaya mata.

Ketika Siti diumumkan selamat bersalin, Achey dan isterinya tidak ketinggalan mengutus video ucapan tahniah buat penyanyi lagu Cindai itu.

Mengenai usahanya membina keluarga, Achey berkata, dia dan isteri sudah mendapatkan melalui pelbagai jenis rawatan termasuk secara tradisional. Namun, akuinya, belum ada yang berhasil.

"Kami sudah membuat pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Mac tahun lalu. Ada juga yang menawarkan kami membuat proses teknik in-vitro (IVF), tapi kalau boleh, kami mahu melalui proses normal.

"Bagi kami, teknik IVF adalah pilihan terakhir. Ada juga yang memberi cadangan kami mengambil anak angkat... Tengoklah nanti.

"Saya dan isteri tidak pernah putus berusaha. Terima kasih kerana ramai peminat yang berdoa dan mengambil berat," katanya.

Sementara itu, Achey akan tampil dengan single kedua selepas dendangan pertamanya, Yang Terindah mendapat sambutan baik.

Menurutnya, single yang diberi judul Takkan Hilang itu bakal dilancarkan selepas Aidilfitri.

"Saya tak mahu terkejar-kejar melancarkan single kedua. Ini kerana ramai penyanyi sedang mempromosikan lagu mereka seperti Sufian Suhaimi, Wany Hasrita dan lain-lain.

"Mereka penyanyi dan mereka mencari makan dengan menyanyi. Tidak seperti saya... Bila-bila saja boleh lancarkan lagu.

"Lagipun, saya mahu lancarkan lagu raya bersama Bocey berjudul Bocey Raya yang sudah siap sejak Aidilfitri tahun lalu. Kami akan pasarkan lagu ini dulu sebelum single Takkan Hilang menyusul," katanya.

Selain itu, filem lakonan Achey, Hantu Wangan sudah menjengah pawagam tempatan, sejak Khamis lalu.

Berita Harian X